(Oleh
Sidiqin Omar)
PETALING JAYA 1 Ogos: Sekretariat Pakatan Rakyat mempelawa rakyat
Malaysia untuk mencipta logo dan lagu Hari Kemerdekaan ke-55 dengan
tema, ‘Sebangsa, Senegara, Sejiwa’.
“Tarikh tutup pada hari Ahad, 5 Ogos ini,” kata wakil Sekretariat,
Shabrimie Sidek, selepas sidang media keputusan pemilihan tema
kemerdekaan di ibu pejabat KEADILAN, hari ini.
Beliau memaklumkan, sebarang penyertaan boleh dihantar kepada
Sekretariat Pakatan Rakyat di alamat: No 17, Jalan 16/2, Seksyen 16,
16350 Petaling Jaya atau menerusi email sekretariatpakatan@gmail.com
atau faks di talian 03 7958 1593.
Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua sebelum itu berkata, tidak wujud
masalah kekurangan masa, jika kerajaan benar-benar komited untuk
mengubah tema Hari Kemerdekaan kepada slogan yang lebih meraikan
kebersamaan.
“Sama ada kerajaan sempat atau tidak, sepatutnya ada kaedah untuk
dapatkan maklum balas dari rakyat. Kita bukannya nak berpecah. Tapi cuba
kita lihat, bukankah slogan hari ini lebih sesuai.
“Kalau kerajaan nak buat, dia mesti boleh buat. Macam dia tangkap
Rafizi (Ramli). Kalau dia nak tangkap, pagi-pagi jam 7.00 pun dia akan
tangkap dan terus dakwa di mahkamah,” kata Tian.
Sementara itu, ditanya sama ada Pakatan Rakyat akan memboikot slogan
‘Janji Ditepati’ dalam program Hari Kemerdekaan ke-55 di negeri-negeri
di bawah pentadbirannya, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali
berkata, isu berkenaan tidak berbangkit.
“Isu sekarang ini ialah slogan. Slogan Janji Ditepati ini kita tak
tahu siapa yang tak tepati janji,” katanya.
Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir pula
berpendapat, kesilapan kerajaan memilih tema, lagu dan logo Hari
Kemerdekaan kali ini menyekat sambutan yang kebiasaannya diadakan selama
sebulan.
Beliau yang pernah menjadi Pengerusi Hari Kemerdekaan Peringkat
Kebangsaan dari 1999 hingga 2006 kecewa dengan slogan itu tahun ini.
“Sepatutnya, kita ada sebulan untuk jalankan pelbagai aktiviti, untuk
tingkatkan kesatuan rakyat. Logo dan lagu Hari Kebangsaaan sepatutnya
sesuai dengan tema iaitu untuk menaikkan semangat,” katanya.
Short URL:
http://www.keadilandaily.com/
No comments:
Post a Comment