28 Ogos 2012
ALOR SETAR - Dijangkakan banyak kejutan bakal mewarnai kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Bakar Bata dan Alor Mengkudu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), berbanding Dun Kota Darul Aman dan kerusi Parlimen Alor Setar, yang dikatakan tidak banyak perubahan.
Bukan sahaja daripada pemilihan calon bertanding parti-parti terlibat, malah saingan sengit digembar-gemburkan akan berlaku di Dun Bakar Bata, yang menampilkan Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah manakala Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kedah yang juga Exco Kerajaan Negeri, Dr Ismail Salleh di Dun Alor Mengkudu.
Ini kerana masing-masing perlu mengekalkan kemenangan untuk terus kekal ‘berkuasa’ secara bermaruah, jika tewas, bagaimana nasib kedua-duanya selepas keputusan rasmi diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Keputusan PRU12 lalu, menyaksikan BN dan PR, sama gagah dan sama kuat, ekoran BN kekal pada kedudukan selesa memenangi kerusi Parlimen Alor Setar dan Dun Bakar Bata, manakala PR menawan Dun Alor Mengkudu dan Kota Darul Aman.
Namun sebarang kemungkinan boleh berlaku pada PRU13. Tidak mustahil keputusan kelak mengejutkan banyak pihak, ekoran sokongan rakyat kini dilihat tidak lagi sama ketika tahun 2008.
Bagi Parlimen Alor Setar, kemungkinan sudah ramai meramalkan ia kekal milik BN, sekiranya Datuk Chor Chee Heung terus diberi kepercayaan sebagai calon. Ini kerana beliau amat disenangi masyarakat pelbagai kaum di kawasannya, selain mendapat sokongan padu akar umbi.
Bagaimana pun, ada desas desus mengatakan Chee Heung berhasrat mengundur diri ekoran dikatakan tidak sebulu dengan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek. Ini bermakna Chee Heung terpaksa berkorban untuk terus kekal sebagai calon bagi pastikan kerusi itu tetap milik BN.
Tambahan pula, tiada pengganti yang layak menggantikan tempat Chee Heung, yang diyakini calon boleh menang.
PKR pula dijangka terus memberi kepercayaan kepada calon PRU12, Gooi Hsiao Leung bertanding sekali lagi, berikutan prestasi cemerlang pada PRU lalu yang hanya tewas tipis pada Chee Heung. Difahamkan, peguam muda ini antara pemimpin PKR berwibawa dan mendapat sokongan akar umbi.
Pada PRU12, Chee Heung (BN-MCA) menang dengan majoriti 184 undi, (20,741) menewaskan Hsiao Leung (PKR) yang memperoleh 20,557 undi.
Sumber berkata, kali ini dijangkakan berlaku tiga penjuru di Dun Bakar Bata, selain calon BN dan PKR, calon Bebas dikatakan berminat bertanding di situ, namun tidak dapat dipastikan sama ada ianya calon daripada parti Kita atau wakil rakyat Bebas yang juga bekas wakil rakyat PKR.
BN meneruskan tradisi mengekalkan Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah yang menang majoriti 358 undi menewaskan, Rohani Bakar (PKR) 7874 undi pada PRU12.
Ura-ura mengatakan kerusi ini menjadi rebutan antara PKR dan Pas, di mana sebelum ini Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Alor Setar, Zulkifli Yahya mencadangkan agar kuota diberikan semula kepada calon Pas sekiranya PR mahu merampas Dun Bakar Bata. Nama Dr Ismail Salleh disebut-sebut untuk bersemuka dengan Ahmad Bashah, buat kali kedua selepas PRU11 (2004), di mana Ahmad Bashah menang (11,091) menewaskan Ismail (5,054).
sambungan kedahkini
No comments:
Post a Comment