KUALA
LUMPUR 28 Ogos: Dasar Automatif Pakatan Rakyat untuk menurunkan harga
kereta seperti dirancang KEADILAN menerusi Kempen Turunkan Harga Kereta
mendapat sokongan Presiden Persatuan Automatif Malaysia (MAA), Datuk
Aishah Ahmad.
Mengalu-alukan sokongan itu, Pengarah Komunikasinya, Nik Nazmi Nik
Ahmad berkata, kenyataan MAA bahawa harga kereta patut diturunkan
berperingkat-peringkat seiring dengan kenyataan Ketua Umum KEADILAN,
Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Anwar menegaskan penurunan ini akan dibuat secara
berperingkat-peringkat selama lima tahun bagi mengelakkan harga kereta
sedia ada dan terpakai merudum.
“Beliau turut menyatakan kerajaan Pakatan Rakyat nanti akan
mengadakan perbincangan dengan semua pihak berkepentingan termasuk
institusi kewangan, pembuat dan penjual kereta sebelum sebarang
penurunan duti eksais di dalam Belanjawan Persekutuan setiap tahun,”
katanya dalam kenyataan.
Nik Nazmi berkata, pelancaran Kempen Turunkan Harga Kereta dibuat
kerana KEADILAN merasakan ia adalah cara efektif dan segera untuk
menaikkan pendapatan isi rumah rakyat Malaysia.
Menurutnya, angka-angka dari pelbagai sumber termasuk Kaji Selidik
Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Awam 2009 yang diterbitkan Jabatan
Statistik mencatatkan beberapa fakta yang merisaukan seperti di bawah:
i) 53 peratus daripada isi rumah di Malaysia mempunyai pendapatan bawah RM3,000 sebulan;
ii) 71.9 peratus daripada isi rumah di Malaysia memiliki atau menggunakan kereta;
iii) Nisbah hutang isi rumah kepada KDNK di Malaysia telah meningkat
33 peratus pada 1997 kepada 78 peratus pada 2011, iaitu lebih tinggi
bagi tahap pendapatan perkapita negara;
iv) Kadar hutang isi rumah kepada KDNK adalah 140 peratus pada 2011,
lebih tinggi dari Singapura (105%), Thailand (53%) dan Indonesia (38%);
v) Jumlah hutang daripada kereta peribadi merupakan jumlah hutang
kedua terbesar selepas rumah kediaman sebanyak RM134.2 bilion pada akhir
Mei 2012; dan
vi) Jumlah hutang daripada kereta swasta telah meningkat sebanyak
RM16 bilion atau 14 peratus dalam 18 bulan, berbanding RM118 bilion pada
November 2010.
Kata Nik Nazmi, penurunan harga kereta lebih rendah bermakna pinjaman untuk pembiayaan juga rendah.
“Rakyat Malaysia tidak akan menghabiskan begitu banyak pendapatan isi
rumah mereka untuk membayar pinjaman di mana sebahagian besarnya adalah
cukai kerajaan,” ujar beliau.
Sebaliknya, beliau berkata, pengguna akan mempunyai pendapatan boleh
guna lebih tinggi yang akan meningkatkan kualiti kehidupan mereka dan
menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi lebih pesat.
Tambah beliau, KEADILAN akan mengadakan forum di seluruh negara bermula September ini sempena kempen tersebut.
“Kami turut bercadang menjemput MAA dan berharap mereka dapat hadir bagi berkongsi idea tentang isu penting ini,” katanya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com
No comments:
Post a Comment