21 Ogos 2012
Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman
Royalti: Musa yakin PM 'sedia dengar suara Sabah'
PAPAR (SABAH) - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman percaya isu
penyemakan semula royalti minyak sebanyak lima peratus yang dibayar
kepada Sabah adalah terbuka untuk dibincangkan antara kerajaan negeri
dan Kerajaan Pusat secara baik.
Dipetik Bernama, Musa berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak adalah seorang pemimpin yang amat prihatin dan sedia mendengar
suara dan keperluan rakyat.
Beliau yang juga Menteri Kewangan Negeri berkata, hubungan baik antara
kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan juga terbukti memberi manfaat
kepada rakyat Sabah melalui pemberian peruntukan yang besar yang banyak
membantu menjana sosioekonomi selain memacu kemajuan negeri ini.
"Oleh itu, saya percaya isu (royalti minyak) terbuka untuk dibincangkan
dan apa yang penting ialah kita bincang dengan membuat kajian untuk
kita perhalusi dan seterusnya mengambil keputusan yang terbaik demi
kepentingan semua pihak yang terlibat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis Rumah
Terbuka bahagian Umno Papar yang dihoskan bersama Anggota Parlimen Papar
Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun)
Kawang Datuk Ghulam Haidar Khan dan Adun Pantai Manis Datuk Rahim
Ismail di Dewan Masyarakat Papar, di sini, hari ini.
Semalam, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud dipetik
sebagai berkata bahawa kerajaan negeri itu akan berbincang dengan
Kerajaan Pusat mengenai keperluan untuk menyemak semula kadar semasa
lima peratus royalti petroleum yang dibayar kepada Sarawak berdasarkan
hubungan rapat sedia ada antara kedua-dua pihak.
Sambil bersetuju bahawa pemimpin negeri daripada pihak kerajaan dan
pembangkang di negeri itu mencapai kesepakatan berhubung isu itu, Taib
berkata, kedua-dua pihak perlu duduk berbincang mengenainya.
Awal bulan ini, Najib mengumumkan bahawa sebuah jawatankuasa khas
ditubuhkan untuk mengkaji secara adil dan telus berhubung isu bayaran
tunai daripada hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur
Semenanjung Malaysia dan jawatankuasa itu diberi enam bulan untuk
mengkaji perkara itu sebelum membuat cadangan kepada kerajaan pusat,
yang akan menamatkan segala persoalan yang menyelubungi isu pembayaran
royalti.
No comments:
Post a Comment