keadilandaily
KUALA
LUMPUR 9 Ogos: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didesak
menyiasat laporan terhadap Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr
Awang Adek Hussin yang didakwa menerima rasuah RM80,000.
Laporan oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPMM) itu dibuat di ibu
pejabat SPRM di Putrajaya semalam berikutan tiada penjelasan daripada
Awang Adek.
“Kita mahu tahu wang RM80,000 tersebut untuk apa dan sekiranya bukti
yang ada pada kami ini tidak benar, beliau perlu tampil menafikannya.
Bila kita beri tempoh seminggu, beliau masih mendiamkan diri.
“Jika memang berlaku skandal rasuah, beliau perlu dihadapkan ke muka
pengadilan. Kami percaya dengan integriti SPRM untuk menguruskan
siasatan ini. Kami dari masa ke semasa akan berhubung dengan pihak SPRM
sebagai satu ‘follow up,” kata Setiausaha DPMM, Khairil Faizi dalam
kenyataan.
Dalam laporan itu, DPPM mendakwa Awang Adek menerima dua cek bernilai
RM30,000 dan RM50,000 daripada Advance Maintenance Precision Management
(AMPM) Sdn Bhd bertarikh 6 Disember 2010.
Pada hari yang sama, AMPM menulis surat kepada Awang Adek selaku
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Skim Jejak Jaya Bumiputera (SJJB) untuk
melanjutkan kontrak penyelenggaraan JB Sentral dan Bangunan Sultan
Iskandar, Johor Bharu.
Cek itu kemudiaannya ditunaikan pada tarikh yang sama dan terdapat
kemasukan tunai sebanyak RM80,000 ke dalam akaun CIMB Awang Adek.
Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif SJJB kali ke-11 pada 25 Ogos tahun
lalu, meluluskan tempoh kontrak sedia ada untuk tempoh lima tahun dengan
opsyen tambahan lima tahun lagi selepas tempoh kontrak sedia ada
tersebut tamat.
Awang Adek sebelum ini seperti yang didedahkan oleh Setiausaha Agung
KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail terlibat dalam salah laku
semasa beliau menjadi Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM).
Short URL:
http://www.keadilandaily.com/
No comments:
Post a Comment