Wednesday, September 12, 2012

134 NGO sokong Suaram

sinar harian
11 September 2012
SHAH ALAM - Sebanyak 134 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyokong Suaram yang berhadapan dengan siasatan pihak berkuasa berhubung dengan sumber kewangan, yang antara lain dikatakan menerima dana daripada institusi milik George Soros.

Menerusi laman mikro Twitter, Suaram mendakwa mereka tidak mendapat dana daripada kerajaan.

Oleh yang demikian mereka mengambil langkah untuk menerima bantuan daripada luar dan beberapa individu yang didakwa kerajaan menjadi dalang kepada kemelesetan ekonomi negara pada 1997 dan 1998.

Pada masa yang sama, Suaram mendakwa telah menerima sebanyak 120 tandatangan daripada NGO yang menyokongnya dalam hal tersebut.

Badan-badan itu menyatakan sokongan pada satu sidang media yang diadakan di ibu negara hari ini.

Sidang akhbar itu dibuat susulan kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam dan beberapa hari lalu.

Suaram mengecam tuduhan itu.

Katanya, menteri itu mendakwa ia akan didakwa dan mendapati akaun yang ada menunjukkan keraguan, walhal kes terbabit masih lagi dalam siasatan.

Ismail berkata siasatan masih lagi di peringkat awal untuk memastikan penglibatan individu yang digelar "penyangak mata wang" ketika krisis ekonomi pada 1997 dan 1998.

Jelas Suaram, pertubuhan tersebut telah mematuhi sepenuhnya Akta Syarikat serta akuan  terbabit diaudit sepenuhnya setiap tahun.


Pada masa sama, Suaram mendakwa isu terbabit ditimbulkan atas alasan politik susulan aduan yang dibuat oleh pertubuhan terbabit terhadap mahkamah Perancis berhubung isu kerajaan Malaysia dalam pembelian kapal selam Scorpene.

Isu Suaram didakwa telah menerima dana asing yang dipercayai daripada Soros menggemparkan negara, malah beberapa pertubuhan dan individu malah kedutaan asing turut didapati menyalurkan dana terhadap pertubuhan yang lantang bersuara untuk memperjuangkan hak asasi manusia.

Beberapa media tempatan melaporkan bahawa antara penyumbang dana terhadap Suaram adalah Kedutaan Jerman.

Duta Besar Jerman ke Malaysia, Dr Guenter Georg Gruber menjelaskan bahawa ia membiayai inisiatif-inisiatif projek spesifik.

"Projek dengan Suaram adalah pada 2010 yang kami telah buat penilaian," katanya.

No comments:

Post a Comment