Wednesday, September 26, 2012

28,000 dijangka turun berdemo Ahad ini bantah projek Pengerang

(Oleh Mohd Martin Kahar)
KUALA LUMPUR 25 September: Seramai 28,000 penduduk daripada 10 kampung dijangka akan turun berdemo dalam Himpunan Hijau Lestari Pengerang Ahad ini ekoran tidak berpuas hati tindakan kerajaan Umno BN merampas tanah penduduk untuk Projek Kompleks Bersepadu Petroleum Pengerang (PIPC).
Himpunan aman yang bakal diadakan di Dataran Sungai Rengit itu bertujuan menarik perhatian pihak bertanggungjawab terhadap nasib penduduk susulan kerajaan negeri tidak mempedulikan rintihan mereka.
Pengerusi Himpunan Hijau Lestari Pengerang, Anis Afida Azli berkata, banyak usaha yang dilakukan penduduk bagi meluahkan pandangan masyarakat, namun hasilnya negatif.
“Kami telah menghantar memorandum kepada Unit Pembangunan Ekonomi Negeri Johor, Dewan  Undangan Negeri dan Suhakam (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia), namun tindak balas yang diberikan kerjaan negeri tidak memuaskan.
Selain itu banyak program penerangan yang dianjurkan oleh Gabungan NGO yang ditubuhkan penduduk dalam menangani kegagalan pentadbiran kerajaan negeri menyampaikan maklumat yang betul kepada penduduk.

“Ini membayangkan kerajaan negeri lebih mementingkan pembangunan ekonomi berbanding kebajikan dan masa depan rakyat.
“Ini tidak bertepatan dengan slogan ‘Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan dan ‘Janji Ditepati’,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Turut hadir, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh; Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan beberapa wakil penduduk.
Anis berkata, penduduk Pengerang mengalu-alukan pembangunan yang membawa kesejahteraan kepada mereka, tetapi ia perlulah berteraskan ciri-ciri pembangunan yang lestari.
Katanya, projek PIPC tidak mementingkan aspek kelestarian kerana ia meberi kesan kepada pemcemaran alam sekitar.
Menurutnya lagi, Pegerang terkenal sebagai pusat pelancongan kerana memiliki hasil bumi, hidupan laut serta mempunyai bentuk muka bumi yang unik.
“Pembangunan projek PIPC bakal mengubah status pelancongan kepada perindustrian sekaligus memberi kesan kepada alam sekitar. Kita mempersoalkan kesan terhadap industri pelancongan di kawasan berhampiran seperti Desaru setelah projek ini berjalan,” katanya.
 
Penduduk terancam
Anis berkata, penduduk Pengerang yang rata-rata terdiri daripada nelayan, petani dan peniaga juga bakal kehilangan sumber pendapatan setelah projek itu dibangunkan.
“Kemahiran yang dimiliki penduduk tidak bersesuaian dengan kerja yang ditawarkan dalam projek itu,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan kerajaan negeri tidak memberikan saham kepada penduduk dalam projek berkenaan sebagaimana yang diamalkan di negara-negara maju.
“Apakah jaminan kerajaan negeri dalam memberikan pekerjaan kepada anak-anak tempatan sekiranya projek ini berjalan.
“Apakah perancangan kerajaan negeri bagi memastikan penduduk yang terlibat tidak putus sumber pencarian spanjang projek ini dijalankan?” soalnya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/

No comments:

Post a Comment