KUALA
LUMPUR 31 Ogos: Tindakan kerajaan mengambilalih Lebuhraya Penyuraian
Timur (Eastern Dispersal Link atau EDL di Johor membuktikan prinsip
ekonomi yang disyorkan dalam Buku Jingga Pakatan Rakyat (PR) adalah
tepat.
Menurut Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli, keputusan terbaru
kerajaan itu sekaligus menolak tuduhan pimpinan Umno Barisan Nasional
(BN) yang mendakwa prinsip ekonomi Buku Jingga boleh menyebabkan negara
muflis.
Katanya, dasar Pakatan Rakyat adalah menetapkan pengambilalihan
konsesi tol dengan matlamat menghapuskan tol sebagai satu daripada 10
program pertama yang akan dilaksanakan jika berkuasa.
“Ini berasaskan fakta bahawa jumlah bebanan yang ditanggung rakyat
dan kerajaan (dalam bentuk tol yang dibayar dan pampasan tahunan kepada
pemegang konsesi) adalah jauh lebih mahal daripada kos operasi dan kadar
pulangan pelaburan yang munasabah yang ditanggung oleh pemegang konsesi
seperti PLUS,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun katanya, beliau khuatir jika pengambil alihan itu adalah
helah supaya wang rakyat disalur kepada syarikat-syarikat yang rapat
dengan Umno BN, terutama apabila pemegang konsesi EDL adalah MRCB yang
rapat dengan Umno.
“Kebelakangan ini, ada satu kegilaan oleh Datuk Seri Najib Razak
untuk menggunakan dana rakyat dan membeli pelbagai aset dan konsesi
kroni yang jumlah urusniaganya mencecah berbilion ringgit.
“Kesemua urusniaga ini, termasuklah yang terbaru pembelian EDL oleh
kerajaan Malaysia dibuat dalam suasana penuh kerahsiaan. Nilaian
harganya tidak melibatkan tokoh-tokoh lain yang boleh memastikan rakyat
tidak ditipu dan tidak ada unsur-unsur penyelewengan,” katanya yang
memberi contoh pembelian dua syarikat penjana bebas dari kumpulan
Genting dan Ananda Krishnan pada harga melampaui RM7 bilion.
Justeru itu katanya, beliau mengesyorkan pimpinan PR menggerakkan
rakyat menuntut dua perkara antaranya mendesak Najib umumkan senarai
lebuhraya dan konsesi akan diambil alih kerajaan dan sebuah Jawatankuasa
Parlimen (PSC).
“Sebuah Jawatankuasa Parlimen (Parliamentary Select Committee) perlu
ditubuhkan dalam sidang dewan akan datang untuk mengkaji, menyemak dan
memastikan kesemua urusniaga yang melibatkan pembelian aset besar dari
syarikat berkepentingan dibuat secara adil dan tiada unsur
penyelewengan.
“KEADILAN akan membawa isu ini ke sidang Parlimen akan datang untuk diberikan perhatian utama,” ujarnya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/
No comments:
Post a Comment