Isnin, 24 September 2012
Rozita tidak mahu dikaitkan dengan mana-mana lelaki berstatus suami orang.
PETALING JAYA: Salah seorang anak Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau
Datuk K telah bertemu pelakon Rozita Che Wan secara peribadi untuk
mengetahui adakah benar wanita itu mahu mengahwini bapanya.
Rozita, 38, berkata, dia terkejut apabila seorang lelaki datang
menemuinya di sebuah majlis baru-baru ini bertanyakan kebenaran gosip
berkenaan.
"Saya tidak mengenali Datuk K secara peribadi dan begitu juga anak
beliau. Dia tiba-tiba menyapa saya di sebuah majlis tertutup dan
bertanya mengenai perkara berkenaan," katanya kepada portal
redcarpet.net.my.
Rozita sebelum ini pernah dikaitkan dengan Datuk K dan mereka kononnya dikatakan telah berkahwin secara senyap.
Dalam pada itu, Rozita memohon semua media dan penulis blog di negara
ini menghentikan spekulasi melibatkan dirinya dengan Datuk K kerana
tidak mahu melukai hati penyanyi Siti Nurhaliza.
"Saya tidak mahu menyakiti hati Siti dengan cerita-cerita yang tidak
benar sebegini tambahan pula saya memang tidak berminat dengan lelaki
yang sudah berkahwin," ujarnya.
Sementara itu, Rozita menjelaskan dia kini selesa hidup sendirian dan
akan lebih berhati-hati mencari cinta selepas rumah tangganya hancur
sebelum ini.
Rozita berkata, dia sentiasa mengambil pengajaran daripada kegagalan
perkahwinannya yang lalu dan mengakui cerewet apabila melibatkan lelaki.
Malah jika ditakdirkan bertemu jodoh dengan duda, dia akan memastikan
lelaki tersebut tidak mempunyai anak kerana tidak mahu bergaduh dengan
anak-anak tirinya.
"Saya cuma akan berkawan dengan lelaki bujang atau pun duda yang tidak
mempunyai anak kerana saya tidak mahu anak-anaknya menghadapi masalah
dengan saya.
"Saya tertarik kepada lelaki yang baik, tidak ego dan dapat menjaga
rumah tangga dengan sempurna walaupun dia tidak sekaya mana," katanya.
Tambah Rozita, paling penting lelaki yang ingin mendampinginya mestilah
boleh menerima dua anak lelakinya yang telah meningkat usia remaja.
"Anak-anak tidak meletakkan kriteria calon suami saya kerana paling
penting lelaki itu dapat mengembirakan saya dan menyayangi mereka
seperti anak sendiri," ujarnya.
No comments:
Post a Comment