ALOR SETAR - Naib Presiden Pas, Datuk
Mahfuz Omar nyaris terkena balingan kasut oleh kumpulan Perkasa yang
hadirmembantah majlis tazkirah Maghrib bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim
di Masjid Al-Hussain, Seberang Pumpong, malam tadi.
Katanya, balingan kasut itu yang disasarkan ke arah Anwar bagaimanapun, terkena jemaah yang duduk di sebelahnya.
“Kedudukan saya dengan Anwar ketika itu, hanya selang tiga orang. Saya
terkejut apabila ada kasut (sandal) terkena orang di sebelah saya.
“Rupanya kasut itu dilempar melalui tingkap masjid oleh ahli kumpulan yang membantah di luar masjid,” katanya ketika dihubungi.
Mahfuz berkata, perbuatan melempar kasut ke dalam masjid adalah
perbuatan biadap kerana mencemar rumah ibadat yang dihadiri jemaah untuk
solat dan mendengar tazkirah.
“Mereka sanggup mencemar tempat suci dan saya anggap ianya suatu
penghinaan kepada institusi masjid. Perbuatan itu tidak wajar sebab
orang ramai datang untuk dengar tazkirah, bukan ceramah politik,”
katanya.
Menurutnya, kumpulan yang didakwa didalangi Perkasa Kota Setar itu
dianggap tidak menghormati imam masjid tersebut kerana imam terlebih
dahulu mengumumkan Anwar dibenarkan mengadakan tazkirah.
“Anwar mematuhi syarat ditetapkan iaitu hanya menyentuh isu agama dan
pembangunan ummah, tanpa menyelitkan isu politik. Perbuatan melampau
yang memberontak hingga ke dalam masjid itu seolah mahu menggambarkan
tazkirah mempolitikkan masjid, sedangkan ia tidak berlaku,” katanya.
Mahfuz berkata, tindakan Perkasa itu seolah provokasi politik pihak
tertentu dan Umno tidak boleh menafikan pembabitan mereka dalam insiden
itu memandangkan,Pengerusi Perkasa Kota Setar memegang jawatan dalam
Umno.
“Saya kesal seorang pemimpin Umno bertaraf Datuk sanggup mengepalai
gerakan mencemar rumah ibadat, dan gelaran itu wajar ditarik balik
ekoran dianugerahkan oleh Sultan Kedah, selaku Ketua Agama Islam Kedah,”
katanya.
Menurutnya, penduduk memaklumkan mereka tidak kenal peserta yang membantah kerana bukan anak kariah.
“Ini bermakna mereka orang luar yang datang membuat kacau. Perbuatan
mereka itu lebih biadap berbanding memijak gambar pemimpin,” katanya.
Mahfuz berkata, sejurus 10 minit Anwar berucap, bekalan elektrik
diputuskan pihak tertentu, menyebabkan jemaah terpaksa berpanas dan
bergelap ketika mendengar tazkirah.
“Hanya lampu kecemasan berfungsi dalam masjid ketika itu. Bekalan
elektrik kembali pulih ketika jemaah berdoa selepas menunaikan solat
Isyak,” katanya.
Kelmarin, sekitar 6.20 petang, lebih 50 ahli Perkasa Kota Setar
mengadakan demonstrasi menentang penggunaan masjid itu sebagai medan
politik Anwar. Mereka seterusnya mengadakan bantahan di luar Masjid
Al-Hussain, Seberang Pumpong, tempat di mana Anwar menyampaikan tazkirah
Maghrib.~ S H
No comments:
Post a Comment