Saturday, September 1, 2012

‘Mak Datin’ kebas RM30,000

myMetro 1 Sept 2012

BATU KURAU: Sekumpulan empat wanita dikesan terbabit kegiatan mencuri barang kemas di beberapa majlis perkahwinan membabitkan nilai kerugian hampir RM100,000.
Suspek wanita berusia 40-an yang tampil persis ‘mak datin’ memakai cermin mata hitam itu dikesan melakukan jenayah terbabit di beberapa rumah pengantin di Teluk Intan, Ipoh dan Batu Kurau, di sini, sejak seminggu lalu dengan taktik menyamar ahli keluarga mangsa.

Dalam kes terbaru Sabtu lalu, suspek melarikan empat beg tangan milik pengantin dan tiga ahli keluarga pengantin berkenaan di Kampung Sungai Ara, di sini.


Saksi kejadian, Salina Shamsudin, 21, berkata, kecurian berlaku ketika sepupunya, Nur Shuhada Zaman Zahari, 22, melangsungkan majlis persandingan di rumah keluarga mereka di sini.

Menurutnya, empat suspek wanita terbabit yang memakai baju kurung muncul sebaik pasangan pengantin diarak untuk disandingkan dalam rumah jam 12 tengah hari.


“Suspek bersikap pelik apabila tidak bercakap dengan tetamu lain sebaliknya hanya memerhatikan keadaan sekeliling penuh curiga. Ada antara saudara-mara yang menegur kumpulan wanita terbabit namun suspek hanya berdiam diri,” katanya.



Menurutnya, dua dari penjenayah kemudian masuk dalam kamar pengantin bersama ahli keluarga lain yang sibuk memindahkan barang hantaran perkahwinan.

Menurutnya, wanita terbabit memberi alasan mahu menggunakan tandas sebelum masuk dalam bilik berkenaan.


“Suspek mengambil empat beg tangan milik pengantin, kawan dan kakak pengantin serta kakak ipar pengantin perempuan.

“Beberapa saudara pengantin perempuan yang melihat tindakan suspek mengambil semua beg tangan itu seolah-olah dipukau apabila gagal menjerit dan membiarkan suspek melarikan semua barangan berharga itu,” katanya.


Menurutnya, suspek memasukkan semua beg tangan dicuri dalam satu beg tangan besar sebelum meninggalkan rumah pengantin.


“Keempat-empat beg tangan itu mengandungi lapan telefon bimbit, wang tunai dan barang kemas yang semuanya dianggarkan RM30,000,” katanya.


Dia berkata, Shuhada bagaimanapun terkejut apabila seorang pegawai bank menghubungi dan meminta pengesahan berhubung tindakan dua wanita mahu membeli dua telefon bimbit di sebuah pusat beli-belah di Taiping menggunakan kad kredit miliknya.


Urusan pembelian itu, bagaimanapun dihalang pihak bank berikutan identiti suspek yang mencurigakan selain berjaya dirakam kamera litar tersembunyi (CCTV).


Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim yang dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan mangsa dan giat memburu penjenayah terbabit.

No comments:

Post a Comment