Sunday, September 2, 2012

Merempat rumah dilelong

1 Sep 2012  hmetro

SEREMBAN: Sepasang suami isteri di Taman Seri Telawi, Paroi, di sini, buntu menghitung nasib diri apabila terpaksa merempat di tempat cucian kereta kerana rumah mereka dilelong tiga minggu lalu.

Rosmazura Abd Samad, 42, bersama suaminya yang uzur, Dahalan Ahmad, 65, diarah keluar dari rumah mereka selepas tidak mampu membayar ansuran bulanan RM700 kepada bank.

“Memang sudah berbulan-bulan kami tidak mampu membayar sewa menyebabkan bank menghalau kami keluar untuk melelong rumah teres itu.
“Kami diberitahu rumah itu sudah dibeli dan terpaksa mengangkut semua barang serta pakaian ke tempat cuci kereta ini yang sudah dianggap seperti rumah,” katanya ditemui di sini, semalam.

Dia yang berkahwin dengan suaminya hampir enam tahun lalu, tidak menyangka nasib mereka sebegitu sehingga terpaksa merempat dan tidur dalam keadaan atap bocor.

“Sudah nasib kami begini. Suami pula disahkan mengidap paru-paru berair awal Ramadan lalu dan tidak mampu bekerja lagi.

“Saya masih kuat untuk bekerja, tetapi mengenangkan suami sakit dan sentiasa memerlukan bantuan, saya terpaksa menjaganya,” katanya.

Lebih menyedihkan, dua anak perempuannya bersama suami pertama berusia 14 dan 15 tahun terpaksa ditempatkan di rumah adiknya di kawasan berhampiran berikutan tiada ruang untuk tidur di tempat cucian itu.

“Lagipun tidak elok anak gadis tidur dalam keadaan terbuka begini. Memikirkan nasib mereka saya menangis.

“Hidup kami juga mengharapkan belas ihsan adik untuk makan,” katanya. Rosmazura berkata, berikutan ‘rumahnya’ dalam keadaan terbuka, memberi peluang penyamun mencuri dapur dan tong gas.

“Sudahlah hidup dalam keadaan daif, peralatan dapur seperti kuali, periuk dan tong gas dicuri pencari besi buruk.

“Kami sekeluarga tidak mampu beraya seperti orang lain dan tiada sebarang persiapan dilakukan, berikutan tempat cucian kereta kepunyaan suami tidak mampu lagi diusahakan berikutan tiada elektrik dan air,” katanya.

Dia terpaksa menyimpan pakaian dalam kereta dan sehingga hujung bulan ini, mengharapkan belas ihsan tuan rumah yang membeli rumah mereka untuk mendapatkan air dan elektrik.

“Bulan depan mereka sudah berpindah masuk membuatkan kami akan tidur dalam keadaan bergelap tanpa elektrik,” katanya.
 

No comments:

Post a Comment