4 September 2012
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
KUALA KRAI - Pas tidak ada sebarang masalah dan bersedia menghadapi
Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada bila-bila masa termasuk kemungkinan
diadakan pada November ini.
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pendiriannya
sama seperti sebelum ini yang tidak kisah tarikh PRU13 diadakan asalkan
rakyat memberikan sokongan kepada parti itu dan Pakatan Rakyat.
“Saya selalu sebut, pilihan raya nak buat bila-bila pun tak apa tetapi
pastikan rakyat mengundi Pas atau Pakatan Rakyat. Kita
selama-lamanyasiap sedia,” katanya.
Menteri Besar Kelantan itu berkata demikian pada sidang akhbar selepas
Majlis Perasmian Penutup Festival Makanan dan Buah-buahan Kelantan
sempena Tahun Melawat Kelantan 2012 (TMK@12) di Dataran Cintawangsa,
dekat sini, semalam.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan
Kebudayaan Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan dan Pengerusi Jawatankuasa
Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk Abdul Fattah
Mahmood.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
yang membayangkan PRU13 mungkin diadakan pada November ini ketika
berucap sempena perasmian serentak mesyuarat perwakilan UMNO di
Sandakan, Sabah semalam.
Pada ucapannya, Perdana Menteri menyifatkan 2012 sebagai tahun yang
amat unik kerana banyak peristiwa bersejarah ada kaitan dengan angka 11
seperti genap 66 tahun usia Umno dan 55 tahun negara capai kemerdekaan.
No comments:
Post a Comment