Friday, September 21, 2012

PKR gesa wujudkan audit bebas khuatir KLIA 2 terima nasib sama

September 21, 2012
KUALA LUMPUR, 21 Sept — PKR hari ini mendesak Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) untuk mengemukakan penjelasan dalam audit bebas terhadap kegagalan sistem kawalan trafik udara Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah untuk berfungsi selama lebih dua jam pada 12 September lalu.

Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar (gambar) menegaskan, kegagalan kedua-dua pihak untuk mengemukakan audit tersebut akan merisikokan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, (KLIA 2) kerana turut bakal menggunakan sistem yang sama.

“Kami difahamkan Kementerian Pengangkutan dan DCA sedang menilai perunding Airspace Restructuring Project (ATMOP) dan kami harap hanya pembida layak yang diberikan projek.
“Bagaimanapun, kami juga difahamkan salah satu pembekal sistem adalah ENAV — syarikat yang berkait rapat dengan SELEX yang mempunyai pelbagai masalah dan membina sistem kawalan trafik udara yang cacat di Subang
“Jika kegagalan sistem ini tidak diperjelaskan dengan audit bebas, maka timbul syak wasangka bahawa jutaan ringgit yang digunakan untuk membangunkan sistem serupa di KLIA 2 mungkin menerima nasib sama,” tegas Nurul Izzah.

Pada 12 September lalu, sistem kawalan trafik udara di Lapangan Terbang SAAS di sini telah lumpuh lebih dua jam bermula daripada 2.30 pagi hingga 4.20 pagi berikutan kegagalan radar dan radio untuk berfungsi.
Berikutan insiden tersebut ruang udara Malaysia tidak dapat dikawal, atau “blind” dan semua penerbangan berlepas dibatalkan dan kawalan trafik udara diserahkan kepada negara jiran.
Syarikat yang bertanggungjawab mengawal selia sistem berkenaan adalah Advance Air Traffic System Sdn Bhd (AAT).

Manakala syarikat yang membangungkan sistem tersebut adalah SELEX Sistemi Integrati (SELEX).
Tambah Nurul Izzah, pihaknya sebelum ini telah mengemukakan permintaan supaya audit bebas dilaksanakan, namun kementerian dan DCA jelasnya seakan memperlekehkan permintaannya, dan memperkecilkan kecacatan sistem yang bernilai RM125.4 juta tersebut.
“Senario yang ditakuti sekarang telah terjadi, yang dahulunya hanya disebut senagai kerosakan kecil, atau ‘minor glitches’.

“Dan alasan kerosakan itu dikatakan berpunca daripada kegagalan elektrik, ekoran miniature control circuit breaker (MCCB) yang gagal berfungsi,” tegas Izzah.
Jelasnya, perkara itu menimbulkan persoalan bagaimana kementerian berkenaan dan DCA membenarkan sistem ini beroperasi tanpa sistem sokongan, uninterrupted power supply (UPS) generator dan bateri gagal berfungsi, serta langkah pencegahan yang akan diambil bagi memastikan insiden tersebut tidak berulang.

Nurul Izzah turut mempersoalkan tindakan kerajaan menganugerahkan kontrak membangunkan sistem tersebut kepada SELEX, sedangkan syarikat itu telah dibuang kerajaan Cyprus tahun ini kerana gagal memberikan perkhidmatan yang memuaskan.

“Saya khuatir KLIA 2 bakal menerima nasib sama seperti di Subang.
“Kami rakyat Malaysia tidak mahu lagi sistem cacat dibangunkan SELEX, teruutamanya apabila sistem sedia ada di Subang ini yang ditempah dari SELEX diselubungi pelbagai kontroversi,” katanya lagi.
The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment