Monday, September 3, 2012

PR tekad tempuh ‘sekatan politik' BN

sinar harian
3 September 2012
Tuan Ibrahim Tuan Man
 
SHAH ALAM - Pakatan Rakyat (PR) bertekad meneruskan perjuangan menempuh ‘sekatan politik’ Barisan Nasional  (BN) yang mahu mengahalang misi Road to Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau tidak menafikan usaha untuk menawan Putrajaya sukar tetapi dengan usaha yang berterusan PR yakin mampu mengubah corak politik baru di Malaysia.
 
“Kami tetap akan tempuh,” tegasnya ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun  Razak kelmarin berkata, anggota Barisan Nasional (BN) perlu bersatu hati membentuk 'sekatan politik' demi  memastikan hasrat dan langkah pembangkang merampas Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang dapat dihalang.

Pengerusi BN itu berkata, sebab itu Umno dan parti komponen BN yang lain perlu muncul sebagai parti yang bukan sahaja boleh menang tetapi menang besar dengan cukup bergaya.

"Kalau mereka (pembangkang) ada slogan 'The Road To Putarajaya' (Laluan Ke Putrajaya), kita nak sekat mereka jangan sampai ke Putrajaya, kita tak nak buat 'roadblock' (sekatan jalan) polis tapi kita buat 'roadblock' daripada segi politik kerana mereka tidak layak duduk di Putrajaya.

Justeru Tuan Ibrahim menambah, kejayaan negeri yang diperintah oleh PR kini membuka mata rakyat untuk menempuh lembaran politik baru di negara ini.

“Misi menawan Putajaya tidak mustahil bagi kami. Media baru turut memainkan peranan penting dalam menjana maklumat terus kepada rakyat seterusnya rakyat sendiri mampu menilai dengan bijak,”  katanya lagi.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, N. Surendran berkata, tindakan Najib mahu melancarkan sekatan politik ke atas PR lansung tidak memberi impak dalam meneruskan misi menawan Putrajaya.

Menurutnya, kebangkitan rakyat yang mahukan perubahan kerajaan dapat dilihat dan Umno perlu sedar parti itu tidak berdaya untuk selamatkan kedudukannya lagi di Putrajaya.

"Ini kebangkitan rakyat yang mahukan perubahan kerajaan, biarlah Najib dengan sekatan dan agendanya.

"Mereka (Umno) perlu sedar mereka tidak berdaya lagi untuk halang rakyat dan PR yakin akan dapat tawan Putrajaya melalui kebangkitan rakyat," katanya.

Beliau juga berkata, Umno sebenarnya makin lemah untuk menghalang rakyat, yang bersama PR, bagi membentuk  kerajaan yang lebih adil

No comments:

Post a Comment