(Oleh Aedi Asri)
KUALA LUMPUR 15 Oktober: Usaha Umno BN memfitnah Pakatan Rakyat
(Pakatan) mempunyai hubungan dengan spekulator mata wang, George Soros
akhirnya terpalit kepada mereka sendiri, kata Ketua Pembangkang, Datuk
Seri Anwar Ibrahim.
“Mantan Perdana Menteri, Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) kata kalau Anwar jadi PM, negara ini akan dijual kepada Soros.
“Akhirnya
beliau (Mahathir) sebenarnya yang jumpa (Soros) dan keluar gambar
mereka…tengok-tengok, bukan main lagi (mereka) senyum,” kata Ketua Umum
KEADILAN itu disambut sorakan lebih 12,000 hadirin ketika berucap pada
Ceramah Mega Jelajah Merdeka Rakyat ke Pulau Pinang di tapak Ekspo
Pertanian Seberang Jaya, malam tadi.
Pada masa sama, skrin di tepi pentas turut memaparkan gambar
pertemuan Mahathir dan Soros di sebuah hotel dalam negara pada 2006.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga menempelak Umno BN melalui
media kawalannya yang setiap hari mengaitkan Pakatan dengan jutawan itu.
Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bukan sahaja bertemu
Soros di dalam negara, malah mengaturkan pertemuan khas di New York dua
tahun lalu.
“Saya tiada masalah kalau nak jumpa, tapi jangan fitnah kita…ini Utusan Malaysia dan Buletin Utama (TV3) setiap hari buat fitnah,” kata Anwar.
Turut
berucap Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul; Ketua Menteri
Pulau Pinang, Lim Guan Eng; Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr Mansor
Othman dan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu.
Dalam pada itu, Anwar turut menceritakan sambutan luar biasa rakyat
Sabah ketika jelajah Merdeka Rakyat ke negeri itu Jumaat dan Sabtu lalu.
“Sambutan cukup luar biasa, termasuk di kubu kuat Umno di Lahad Datu…Sabah kini bukan lagi ‘fixed deposit’ mereka,” kata Anwar.
Sebab itu, katanya lagi, Najib mengumumkan peruntukan tambahan RM2.89 bilion kepada Sabah kerana takut kehilangan negeri itu.
“Tapi
saya nak cakap kat Najib, it’s too late (ianya sudah terlambat)…beliau
perlu sedia untuk jadi Ketua Pembangkang yang baik, InsyaAllah,” sinis
Anwar.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p
No comments:
Post a Comment