(Oleh Mohd Martin Kahar)
KUALA LUMPUR 1 Oktober: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim
berkata, berlaku defisit sebanyak RM21.6 bilion dalam perbelanjaan Bajet
2013 disebabkan banyak ketirisan urus tadbir negara.
“Jika diperhatikan, sejak Najib menjadi Menteri Kewangan, saya
khuatir keghairahan berbelanja ini sudah menjadi penyakit dan
ketagihan,” katanya pada perbahasan Bajet 2013 di Parlimen hari ini.
Anwar berkata, bayaran khidmat hutang meningkat paling ketara
sebanyak 56 peratus atau kepada RM8 bilion sejak Datuk Seri Najib Razak
menjadi Menteri Kewangan pada 2009.
“Contoh peningkatan sejak 2009 hingga 2013…(ialah) RM8 bilion
(diguna) untuk membayar khidmat hutang dan ia telah meningkat sebanyak
56 peratus. Subsidi pula dari 2009 hingga 2013 meningkat sebanyak
(RM)17.2 bilion iaitu peningkatan 85 peratus.
“Bunyinya lunak untuk kebajikan, tetapi sebahagian besar subsidi ini
hanya dinikmati oleh kroni mereka, tidak sampai ke golongan sasaran,”
katanya
“Ini
bermakna jumlah pinjaman baru mengikut data Bank Negara sejak 2009
hinga 2013 adalah (RM)184 bilion,” jelas Ahli Parlimen Permatang Pauh
itu.
Menurutnya, perbelanjaan perbekalan dan perolehan melonjak 28 peratus
kepada RM15 bilion, berbanding hanya RM7 bilion jika ia dilakukan
melalui tender terbuka.
Bekas Menteri Kewangan itu berkata, ketirisan tersebut boleh
dimanfaatkan kepada rakyat terutama untuk memberi pendidikan percuma dan
memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional
(PTPTN).
Beliau berkata, perancangan ekonomi perlu kepada unjuran yang
munasabah, kemudian dinilai sama ada sasaran itu berjaya dicapai atau
sebaliknya.
Malangnya, kata Anwar, sejak Najib menjadi Perdana Menteri dan
Menteri Kewangan, unjuran bukan sahaja tidak berjaya dicapai, malah
tersasar jauh.
Beliau turut mengecam pendekatan ekonomi Umno BN yang lebih mengutamakan golongan maha kaya.
Katanya, pendekatan ekonomi harus adil dengan memberi tumpuan kepada peningkatan pendapatan isi rumah setiap keluarga.
“Harta tidak seharusnya berlegar kepada orang-orang kaya. Sebab itu,
Pakatan Rakyat menekankan perancangan ekonomi perlu beralih daripada
mengejar sasaran ekuiti dan pertumbuhan semata-mata kepada sasaran isi
rumah minimum sebanyak RM4,000 sebulan setiap keluarga menjelang
pentadbiran Pakatan Rakyat.
“Paras pendapatan isi rumah keluarga menjadi sasaran ekonomi utama
untuk memastikan rakyat tidak ketinggalan dari arus pembangunan,” jelas
Anwar.
Pakatan unjur garis panduan tingkat ekonomi
Beliau turut menggariskan beberapa pendekatan ekonomi dalam jangka
panjang yang menjamin peningkatan pendapatan melalui sasaran seperti
berikut:
1. Pertumbuhan ekonomi perlu dijana oleh usahawan kecil dan sederhana
yang membentuk kelas perniagaan terbesar dalam ekonomi bukan hanya satu
dua tauke besar yang membolot sebahagian besar ekonomi.
2. Pertumbuhan ekonomi bergantung kepada nilai tambah yang dihasilkan
melalui peningkatan kemahiran dan kepakaran kerana peluang pekerjaan
mempunyai pengaruh besar kepada ekomomi.
3. Peranan kerajaan dalam menjana ekonomi perlu dibatas kepada usaha
mencambahkan bidang baru yang memesatkan kegiatan ekonomi secara
strategik, bukan terlibat sama dalam kegiatan ekonomi dan bersaing pula
dengan usahawan kecil serta pengusaha lain seperti yang berlaku oleh
Khazanah Nasional.
Manakala pendidikan dan kemahiran yang khusus untuk berdepan dengan
persaingan global adalah fokus kerajaan sebagai tangungjawab asas kepada
rakyat untuk memesatkan ekonomi.
Dasar khusus yang menjamin paras gaji yang saksama juga perlu digubal
demi menjamin kesejahteraan rakyat dan mengambil kira rakyat
berpendapatan miskin dan rendah.
No comments:
Post a Comment