Thursday, October 18, 2012

FAM denda Kelantan RM40,000

sinar harian
18 Oktober 2012
Datuk Taufik Abdul Razak
 
PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa), yang menyasarkan gelaran ketiga musim ini, hari ini dikenakan denda RM40,000 oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung kesalahan penyokongnya membaling botol ke dalam padang, akhir Ogos lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufik Abdul Razak berkata, kesalahan ini dilakukan oleh penyokong Kelantan ketika perlawanan menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Selayang dekat Kuala Lumpur pada 28 Ogos lalu.

Ketika pasukan itu bertemu pada saingan Piala Malaysia peringkat kumpulan.

Kedua-dua pasukan itu bertemu semula pada final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

“Tindakan segelintir penonton yang membaling botol air ke padang menyebabkan perlawanan terpaksa diberhentikan kira-kira 17 minit sebelum disambung semula.

“Jadi, hukuman denda RM40,000 dikenakan kepada Kelantan dan mereka tidak dibenarkan merayu," kata beliau pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

Tambah Taufik: "Kelantan ada menghantar Borang B (tidak mengaku bersalah) atas tuduhan namun mereka lewat dua hari selepas tarikh tamat mengemukakan bantahan."

Selain Kafa, Taufik turut menjelaskan, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa),  dan Persatuan Bola Sepak Sarawak turut dikenakan hukuman denda atas kesalahan kelakuan penonton.

"Pafa dikenakan denda RM10,000 atas kesalahan penonton membakar roket sejurus nyanyian lagu Negaraku, membaling botol air ke atas penolong pengadil dan ke dalam padang.

“PBSNT pula  menerima denda RM10,000 kerana tindakan penyokong membaling botol di atas padang,” katanya sambil menambah:

"Manakala PBNS dikenakan hukuman denda RM5,000 atas kesalahan membaling sos cili ke atas padang dan juga penolong pengadil.

"Sarawak pula dikenakan denda 1,000 atas kesalahan menggunakan mercun," jelas beliau lagi.

1 comment:

  1. sebab kelantan ke final, maka dendanya lebih drp negeri lain, walaupun kesalahan lebih kurang sama.....ha ha ha..klakar lah fam ni - Fail All Method!

    ReplyDelete