Friday, October 19, 2012

Henti keluar permit niaga kepada warga asing, kata MITA

October 19, 2012
KLANG, 19 Okt — Pertubuhan Peniaga Tekstil dan Barang-barang Am India Malaysia (MITA) meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menghentikan pengeluaran permit kepada syarikat pengurusan acara tempatan untuk membawa masuk peniaga asing ke Malaysia. 

Setiausahanya Maheswary Ramasamy berkata banyak syarikat tekstil, kraftangan dan barang kemas asing kini menyertai karnival beli-belah dan pesta perdagangan India di Malaysia, yang menjejaskan perniagaan usahawan India tempatan.
“Pada mulanya, pesta perdagangan India anjuran syarikat pengurusan acara tempatan hanya dihadkan untuk penyertaan pengeluar dari negara seperti India, Pakistan dan Bangladesh untuk memperkenal produk mereka kepada peniaga tempatan.

“Bagaimanapun, lama kelamaan, ia berubah apabila peniaga asing yang menyertai pesta perdagangan ini mula menjual secara runcit kepada pelanggan tempatan.
“Ini menjejaskan dengan teruk perniagaan peniaga India tempatan, dan malah, ada yang terpaksa gulung tikar. Kami mahu peniaga India tempatan yang mendapat manfaat, bukan peniaga asing,” katanya kepada Bernama. 

Maheswary berkata pesta perdagangan seperti itu juga membuka jalan kepada syarikat tekstil asing untuk menjual barangan yang tidak menepati standard dan kualiti yang ditetapkan kepada pembeli yang tidak berhati-hati mengenainya.
“Tidak patutlah bagi peniaga asing datang ke negara kita dan merosakkan periuk nasi peniaga tempatan,” katanya.

Maheswary berkata MITA menghantar dua memorandum berkaitan perkara itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2010 dan 2011 dan perjumpaan juga diadakan dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Mac tahun ini, tetapi usaha itu belum memberi sebarang hasil.

Sementara itu, pemilik kedai menjual saree, Surendran Subramaniam berkata perniagaannya terjejas teruk oleh pesta perdagangan yang disertai peniaga asing.
“Apabila pesta perdagangan ini dianjurkan sekitar September dan Oktober, perniagaan kami yang begitu rancak menjelang Deepavali suatu ketika dulu, kini merudum,” katanya.

Seorang peniaga yang enggan dikenali berkata penganjur pesta perdagangan seperti itu mengaut keuntungan lumayan atas kesusahan peniaga tempatan. 
“Pada bulan lepas saja, 183 gerai didirikan sempena pesta perdagangan seperti itu di Penang International Sports Arena (PISA) dan ini menjejaskan dengan teruk perniagaan peniaga India di sekitar tempat itu,” katanya. — Bernama
The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment