21 Oktober 2012
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek
KUALA LUMPUR - MCA menafikan parti itu 'mengawal' Umno terutamanya
dalam membuat keputusan tentang pelaksanaan hukum hudud di negara itu
seperti yang didakwa oleh Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan baru-baru
ini.
Presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata, kenyataan tersebut
hanyalah pandangan tipikal Nasrudin dan beliau mengulangi ketegasannya
supaya isu hudud tidak dipolitikkan.
"Saya rasa saya tidak perlu beritahu semua orang yang Barisan Nasional,
yang didominasikan oleh Umno tahu apa yang wajar untuk gabungan
kesepakatan parti ini.
"Umno tahu apa yang baik dan buruk dalam melaksanakan sesuatu perkara.
"Kalau Umno nak laksana hukum itu, sudah lama dilakukan tetapi Umno
menghormati pendirian dan kepentingan bangsa lain," kata beliau pada
sidang media selepas perasmian Perhimpunan
Agung MCA Ke-59 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di Wisma MCA, di sini, hari ini.
Semalam, Nasrudin mendesak Presiden MCA itu memohon maaf kepada seluruh
rakyat di negara ini kerana mengeluarkan kenyataan tidak berasas
mengenai hudud.
Nasrudin turut menyatakan kebimbangan kenyataan Soi Lek yang mengatakan
bahawa pelaksanaan hudud akan menjejaskan 1.2 juta peluang pekerjaan di
sektor perkhidmatan dan pelancongan serta boleh mencetuskan keresahan
rakyat terhadap Islam.
Sementara itu, tambah Soi Lek, Pas hanya bercakap kosong tentang
pelaksanaan hudud sedangkan beliau mengulas perkara itu berdasarkan
fakta.
Katanya, sebagai pemimpin yang datang dari parti yang demokratik, perbezaan pandangan adalah perkara biasa.
Soi Lek menambah, beliau bertanggungjawab untuk memberikan penjelasan
kepada penyokong parti itu tentang implikasi pelaksanaan hudud.
Ketika diminta mengulas kenyataan pihak pembangkang yang menegaskan
hanya mereka yang arif tentang isu hudud sahaja yang layak bercakap
tentang perkara itu, Soi Lek berkata, tindakan itu adalah tidak
demokratik.
"Sebagai pemimpin di sebuah negara yang demokratik, tidak ada sesiapa
yang wajar memonopoli apa-apa isu dan sewajarnya kita sama-sama
menyumbang untuk memberi penjelasan kepada rakyat," katanya.
No comments:
Post a Comment