Friday, October 5, 2012

Janji menang Toyota Camry, dapat tilam

Wartawan Sinar Harian
5 Oktober 2012
KUALA TERENGGANU - Sepasang suami isteri dan seorang imam mendakwa ditipu oleh satu sindiket peraduan ‘gores dan menang’ yang menjanjikan sebuah kereta Toyota Camry 2.4 bernilai RM230,000 sebagai hadiah utama.

Menceritakan kejadian, Rofidah Abu Bakar, 40, dan suaminya Anuar Long, 41, mendakwa mereka mengalami kerugian RM6,800 selepas diminta membuat pembayaran sejurus membuat cabutan percuma menerusi sampul surat oleh dua suspek.

Kata Rofidah, mereka didatangi dua lelaki semasa berada di tempat letak kereta di sebuah pasar raya di sini kira-kira jam 11 pagi, 1 Oktober lalu.“Mereka meminta kami membuat cabutan percuma menerusi sampul surat sebelum memaklumkan kami akan menerima sebuah kereta Toyota Camry 2.4.

“Bagaimanapun, selepas membuat pembayaran wang sebanyak RM6,800, barulah mereka memberitahu yang kami hanya menerima hadiah satu tilam dan satu mesin pengurut kaki,” katanya.

Jelasnya, tidak berpuas hati dengan hadiah yang ditawarkan kerana tidak berbaloi dengan bayaran diberikan, kedua-duanya telah mengajukan ketidakpuasan hati kepada suspek itu, namun, jawapan diberikan agak mengecewakan.

“Mereka berdolak dalih. Tidak berpuas hati dengan itu, saya meminta bantuan Rakan Cegah Jenayah Terengganu (RCJ) bersama enam anggota yang diketuai Syed Shamsuddin Tuan Azam ke pejabat wakil jualan itu di Jalan Bukit Kecil, di sini, bagi mencari jalan penyelesaian.

“Namun, setibanya kami di sana, pekerja di situ enggan ditemui dan mendakwa pihak pengurus tiada di pejabat untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Sementara itu, turut ditemui di pejabat berkenaan, seorang imam yang juga pesara kerajaan, Imran Ali, yang turut mendakwa berada di situ selepas ditipu sindiket berkenaan.

“Saya dah bagi RM1,000 kepada mereka dan katanya hanya hendak menulis nombor siri duit sahaja dan akan memulangkan kembali duit saya, tetapi sampai sekarang mereka tak bagi satu sen pun,” katanya.

Tidak berpuas hati selepas menyedari mereka diperdaya, kedua-dua mangsa membuat laporan di Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Terengganu supaya mengambil tindakan terhadap sindiket itu sebelum membuat laporan polis di Balai Polis daerah Kuala Terengganu.

No comments:

Post a Comment