Harakahdaily
Subky Latif, | 30 Okt 2012 |
PERDANA
Menteri menunggu Datuk Seri Anwar menobatkan Tan Sri Abdul Khalid
Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor yang terbaik dengan segala
hujahnya.
Pertama dia ada integriti dan tidak rasuah dan tidak menjadikan
pangkat dalam politik untuk mencari kekayaan. Malah dia bukanlah orang
politik sangat, tetapi dia orang yang bekerja.
Jika Anwar katakan Khalid Menteri Besar/Ketua Menteri yang terbaik di
seluruh negara sejak merdeka pun boleh bersetuju secara umum sebelum
dibuat auditan untuk semua.
Kerana itulah kalau Anwar memberi kuasa kepada saya untuk menyusun
kabinet bayangannya saya akan namakan Khalid sebagai calon menteri
kewangan seperti yang saya tulis dalam Harakah dua minggu lalu.
Selepas saya namakan dia calon menteri kewangan, Anwar pula kata
dia Menteri Besar Selangor yang terbaik. Maka sebagai Menteri Besar yang
terbaik, boleh ditimbangkan dia untuk menjadi calon terbaik bagi
menjadi menteri kewangan.
Selepas Perdana Menteri Mahathir ada tiga orang menteri kewangan –
Tengku Razaleigh, Daim Zainuddin dan Anwar Ibrahim – Barisan Nasional
sudah tidak jumpa orang untuk menjadi menteri kewangan lalu semua
Perdana Menteri menjadi menteri kewangan. Sejak tahun 1999 hingga PRU13
kita tidak ada menteri kewangan khusus dan penuh masa. Malaysia ada
menteri kewangan sambilan saja.
Malaysia kini adalah sebuah negara yang kucar kacir politiknya,
ekonomi, kewangan dan pentadbirannya. Maka Perdana Menteri menunggu
memerlukan seorang menteri kewangan yang lebih hebat dari Tun Tan Siew
Sin.
Siew Sin jadi menteri kewangan pada masa negara baru merdeka yang
masalahnya darurat dan ancaman komunis bersenjta saja. Rasuah tak ada,
orang melarikan wang negera tiada selain dari penjajah kaut. Kewangan
yang British tinggal tiada banyak masalah. Cuma ekonomi saja belum
dibangunkan. Siew Sin tidak banyak masalah menyambung tugas yang
Inggeris tinggalkan.
Tetapi negara yang Pakatan Rakyat hendak ambil ialah sebuah negara
yang penuh dengan beban hutang, mata wang yang tidak kukuh, inflasi,
rasuah, penyelewengan dll, maka tugas menteri kewangan adalah berat bagi
menghadapi sistem pemerintahan yang porak peranda itu.
Negara memerlukan seorang menteri kewangan berwatak kuat macam
Al-Marhum Tun Dr. Ismail yang tidak suka bermuka-muka. Orang yang tidak
banyak politiking yang ada pengalaman boleh mengawal pentadbiran,
kewangan dan sebagainya.
Tentu Selangor juga merasa perlu wibawa sepertinya bagi menentukan
reformasi pentadbiran dapat diteruskan. Apabila Selangor beroleh Menteri
Besar terbaik tentulah ia berhadapan masalah mendapatkan ganti
sebaiknya.
Seperti zaman Dato Harun Idris menjadi Menteri Besar, mungkin dia
tidak sebaik Khalid, tetapi dia terlalu popular. Selangor berdepan
dengan masalah untuk mencari penggantinya hinggalah datang Khalid
Ibrahim. Selangor bertuah beroleh Khalid. Payahlah mencari ganti
sepertinya.
Jika Selangor boleh dapat pengganti, maka dia adalah calon pertama paling sesuai jadi menteri kewangan.
Saya kenal Khalid sebelum saya kenal Ustaz Hadi, Anwar dan Lim Kit
Siang. Masa jadi guru sementara sebelum masuk universiti, saya sudah
kenal dia. Saya kenal neneknya, ayahnya, emaknya dan semua adik
beradiknya. Maka saya tahu dan yakin dengannya.
Ketika dia mula bekerja di PNB sebelum jadi CEO, dia cerita pada saya
kerja yang sedang dibuatnya. PNB belum ada apa-apa. Saya tanya bolehkan
dia buat? Lepas itu dia jadi CEO. PNB jadi gergasi yang sebelumnya
adalah Awang Kenit.
Kerana itu saya terasa kementerian kewangan perlukan orang sepertinya.
No comments:
Post a Comment