Sunday, October 28, 2012

MB kata Ketua Pemuda Gerakan ibarat ‘beruk atas pokok cermai’

Wartawan Sinar Harian
28 Oktober 2012
ALOR SETAR - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menyifatkan tindakan Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang yang berterusan mendesaknya membuat penjelasan mengenai perkara yang dibangkitkan sebagai politik tidak matang.

Untuk itu, beliau bersedia memberi kerjasama atau penjelasan kepada pihak berkuasa, sebaliknya enggan ‘melayan’ desakan Keng Liang kerana sering menyalah tafsir fakta yang didedahkan.

“Mereka sudah buat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), biarlah siasatan dibuat. Tak perlu saya buat penjelasan secara peribadi kepada dia (Keng Liang),” katanya.

Azizan secara berseloroh mengandaikan situasi Keng Liang yang sering mendesak beliau umpama pepatah Melayu iaitu ‘jangan usik beruk atas pokok cermai’.

“Beruk atas pokok cermai, dia tengok kita dan usik kita, jika kita pun sama layan dia, dia lagi syok goncang pokok sampai habis jatuh buah dan daun cermai. Jadi tak payahlah layan. Jika kita layan sampai bila pun tak habis,” katanya, yang mengundang ketawa media yang hadir.

Menurutnya, pendedahan Pemuda Gerakan itu sering disertakan dengan fakta yang tidak tepat seolah-olah mahu mengaburi mata rakyat, dan beliau sudah penat untuk menjawab setiap persoalan yang dibangkitkan setiap minggu.

“Saya tak mahu layan lagi, hak dia nak cakap apa pun. Saya bukan nak sembunyi kebenaran tapi apa yang dia dedah, selalu salah fakta. Jika saya tak telus dalam pentadbiran, tak kan saya tubuh jawatankuasa siasat isu pelaburan di Papua New Guinea untuk hentikan projek serta merta, bagi elak kerugian lebih besar,” katanya.

Azizan berkata, tindakan Kerajaan Negeri menghentikan projek terbabit termasuk memecat kakitangan yang menyeleweng dalam projek itu adalah suatu tindakan bijak dalam sesebuah organisasi perniagaan.

“Sebab itu saya katakan dia tak faham politik, lagi banyak dia cakap, lagi cetek pemikiran dia,” katanya.

Sebelum ini, Keng Liang tetap menyalahkan Kerajaan Negeri berhubung kerugian pelaburan di Papua New Guinea membabitkan projek pembalakan dan perladangan syarikat Kedah Corporation Bhd (KCB).

Malah Keng Liang antara pemimpin Barisan Nasional (BN) yang sering membangkitkan isu-isu panas di Kedah termasuk draf dasar baru perumahan Kedah dan pemakaian sopan pada papan iklan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) bermula tahun depan

No comments:

Post a Comment