Sunday, October 21, 2012

MCA akan terus bangkitkan isu ‘hudud’


TERKINI @ 06:03:10 PM 20-10-2012
October 20, 2012
KUALA LUMPUR, 20 Okt — MCA akan terus membangkitkan isu hudud untuk memastikan rakyat tidak mengundi Pakatan Rakyat (PR) walaupun ia berulang, bagi menyelamatkan Malaysia dari menjadi negara teokratik Islam.
“Isu hudud ini adalah penting kerana hukum hudud ini bakal mengubah senario negara ini.
“Kita harus menyampaikan mesej ini kepada rakyat, terutama kepada masyarakat Cina bahawa negara teokratik tidak dapat diterima di negara ini,” kata timbalan presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam sidang media selepas merasmikan perhimpunan agung Pemuda MCA pagi ini.

“Kami akan terus menerangkan kepada rakyat yang kami tidak boleh menerima negara teokrasi dan hukum hudud ala PAS,” katanya lagi.
Menteri kesihatan itu menemplak kritikan bahawa MCA telah mengulang-ulang isu hudud untuk meraih sokongan pengundi untuk memenangi pilihan raya dengan berkata isu tersebut perlu diulang bagi memastikan undang-undang Islam tersebut tidak diadakan di Malaysia.

Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah ketua pemuda MCA Datuk Wee Ka Siong.
Wee berkata, dahulu DAP lantang menentang negara Islam yang dimahukan PAS, tetapi ia semakin berlembut untuk menawan Putrajaya.
Hudud adalah isu sensitif di negara ini, dimana 60 peratus penduduknya beragama Islam, dan parti politik terus memainkan isu ini untuk pilihan raya umum ke 13.

Undang-undang Islam tersebut sering digunakan untuk menakutkan penduduk minoriti Cina, atau untuk mendapatkan undi majoriti Melayu yang beragama Islam.

Masyarakat Melayu dilihat berpecah kepada tiga bahagian dengan Umno selaku parti terbesar kaum tersebut, parti Islam PAS dan PKR yang dilihat sebagai parti urban yang liberal. The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment