Harakahdaily
| Azhar Yahya, | 19 Okt 2012 |
Ketika Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mendakwa seramai 1.2 juta
rakyat Malaysia akan kehilangan kerja sekiranya hudud dilaksanakan di
Malaysia. Ramai tertanya-tanya, di manakah Fathul Bari yang dilihat
sunyi sepi tidak membantah kenyataan tersebut.
Persoalan ini timbul apabila Fathul Bari sebelum ini banyak
mengeluarkan kenyataan mewakili Ulamak Umno dalam berbicara tentang
agama.
Sepatutnya kenyataan Datuk Seri Chua ini menjadi perhatian beliau
untuk ditegur tanpa lengah kerana ia berkait rapat dengan kesucian Islam
dan sensitiviti umat Islam.
Adakah beliau memilih isu menguntungkan sahaja untuk mengulas?
Isu-isu yang merugikan politik Umno ditinggalkan walaupun ia isu yang besar di sisi Islam.
Datuk Seri Chua yang memetik satu SMS oleh individu tidak dikenali
sebenarnya menggunakan cara yang sama yang diajar oleh Umno untuk
menakut-nakutkan rakyat Malaysia.
Umno menakut-nakutkan orang ramai dengan pelbagai andaian yang karut
sekiranya Pakatan Rakyat memerintah. Negara akan muflis, mundur ke
belakang dan lain-lain lagi menjadi bebelan Umno ke mana sahaja mereka
pergi.
Nampaknya Datuk Seri Chua belajar daripada Umno untuk menakutkan
rakyat dengan menghina hukum Hudud. Beliau begitu berani menghina kerana
yakin tidak ada sesiapa pun daripada kalangan pemimpin dan Ulamak Umno
termasuk Fathul Bari akan menegur dan mengambil tindakan kepadanya.
Beliau yakin Umno dan Ulamaknya tidak akan berbuat apa-apa kerana ia
memberi keuntungan kepada politik Barisan Nasional untuk menarik undi
orang Cina.
Kalau PAS yang menegurnya, beliau tidak ambil kisah kerana memang sifat PAS yang suka membangkang.
Ini bukan kali pertama Umno dan ulamanya senyap dalam berdepan dengan kenyataan Datuk Seri Chua menghina hudud.
Ketika Datuk Seri Chua menyatakan bahawa Malaysia akan kehilangan
pelabur dan negara akan binasa jika Hudud dilaksanakan selepas
merasmikan forum mengenai Hudud di Wisma MCA, Umno dan ulamanya juga
senyap tidak membantah.
Malah beliau juga menegaskan bahawa hudud tidak adil kepada semua
khasnya kaum wanita di samping menyebut bahawa undang-undang Islam
adalah kejam.
Mungkin kerana ugutan keras MCA akan keluar Barisan Nasional jika
Umno melaksanakan hudud menyebabkan Umno dan ulamanya termasuk Fathul
Bari menikus demi kepentingan survival politik mereka walaupun terpaksa
menggadaikan Islam.
Penulis ialah Timbalan Ketua Ulamak Pelapis PAS (Pusat).
No comments:
Post a Comment