Sunday, October 7, 2012

NGO dakwa Bajet 2013 pinggir SAR

AHMAD NORMAN ABU TALIB
7 Oktober 2012
NGO dakwa Bajet 2013 pinggir SAR
Halimah (dua, kiri) selepas tamat bengkel Pengurusan Cemerlang SAR, semalam.
SHAH ALAM – Kira-kira 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dakwaan Sekolah Agama Rakyat (SAR) dipinggirkan dalam Bajet 2013 dibentangkan baru-baru ini.

Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, memorandum tersebut akan diserahkan dalam masa terdekat ekoran tindakan yang dianggap sebagai diskriminasi terhadap SAR.

Katanya, perkara itu amat ketara kerana tiada peruntukan langsung diberikan kepada SAR berbanding Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Kebangsaan.

“Ini seolah-olah menggambarkan Barisan Nasional (BN) – Umno mendiskriminasikan ibu bapa memilih untuk hantar anak mereka ke SAR.

“Ini menunjukkan hak-hak ibu bapa yang mahu anak mereka mendapat pendidikan di SAR dinafikan,” katanya pada sidang media selepas Bengkel Pengurusan Cemerlang bagi SAR sebuah hotel, di sini semalam.

Halimah berkata, antara NGO tersebut adalah Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidikan Kebangsaan (Pendidik), Majlis Permuafakatan Institusi Pendidikan Islam Selangor (Mapis) dan Sukarelawan Pendidikan Rakyat.
Menurutnya,  Kerajaan Pusat perlu memahami terdapat ibu bapa yang tidak mahu menghantar anak-anak mereka ke SJK kerana mahukan anak mereka diberikan didikan agama di SAR.

Katanya, ia juga sama seperti ibu bapa yang memilih untuk tidak menghantar anak mereka ke SJK sebaliknya SJKC dan SJKT.

“Apakah bezanya hak mereka ini dengan hak ibu bapa yang memilih untuk menghantar anak ke SJKC dan SJKT? Bukankan ibu bapa warganegara sah ini juga ada hak untuk hantar anak ke sekolah mereka pilih,” katanya.

Halimah berkata, beliau mewakili NGO-NGO terbabit mendesak Najib untuk memberi perhatian berhubung perkara ini yang dianggap sebagai diskriminasi pendidikan. SH  

No comments:

Post a Comment