keadilandaily
(Oleh Norutul Ilham)
KUALA LUMPUR 5 Oktober: Hasrat Pakatan Rakyat (Pakatan) menubuhkan Perbadanan Perumahan Negara bagi membina perumahan mampu milik merupakan langkah terbaik ekoran kegagalan Umno BN membantu rakyat memiliki rumah sendiri.
Pengerusi Biro Kerajaan Tempatan KEADILAN, Hee Loy Sian berkata, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di bawah BN tidak mencapai objektif kerana ia projek perkongsian swasta yang menjadikan keuntungan sebagai faktor utama.
“Dengan penubuhah perbadanan ini, ia diurus sepenuhnya di bawah kerajaan, kalau SPNB dan PR1MA bergantung kepada syarikat swasta, mereka akan utamakan keuntungan.
“Ini berbeza dengan tawaran Pakatan kerana kita mahu berikan rakyat rumah yang selesa, sekurang-kurang keluasan 750 kaki persegi. Kita tidak mahu nanti selepas lima tahun ada masalah penyelenggaraan,” katanya ketika dihubungi.
Jelas beliau, bagi melaksanakan perumahan itu, Pakatan akan memperuntukkan RM5 bilion untuk tahun pertama pemerintahan.
“Manakala untuk tahun seterusnya, peruntukan RM2 bilion diberikan bagi tempoh lima tahun,” kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan itu.
Hee berkata, bagi projek terbengkalai pula, Pakatan akan melaksanakan polisi ‘bina dan jual’ untuk projek kos sederhana rendah bernilai bawah RM300,000 seunit.
“Perumahan terbengkalai akan diubah kepada polisi bina dan jual kerana tidak mahu lagi rakyat tertipu.
“Tapi kita akan kenakan bayaran 10 peratus terlebih dahulu. Kaedah ini kerana mahukan pemaju bina hingga siap, kemudian baru jual,” ujarnya.
Pakatan dalam Belanjawan 2013 berhasrat membina 100,000 unit rumah mampu milik di bandar-bandar utama dengan harga antara RM130,000 hingga RM300,000 oleh Perbadanan Perumahan Negara.
Ia diharap membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki hartanah bernilai antara RM200,000 hingga RM300,000.
Sebaliknya, BN dalam Bajet 2013 hanya memperuntukkan RM1.9 bilion bagi membina 123,000 unit rumah tanpa memberikan gambaran harga yang akan dilaksana oleh SPNB, PR1MA dan Jabatan Perumahan Negara.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/
No comments:
Post a Comment