PKR mencadangkan projek loji penapis petrokimia Rapid Pengerang dipindahkan ke Kertih, Terengganu seandainya kajian dan pertimbangan asas ekonomi mewajarkan ia diteruskan.

Ketua Biro Perdagangan dan Pelaburan PKR, Wong Chen dalam sidang media pagi tadi berkata projek itu perlu dinilai secara menyeluruh dan mengambil kira merit ekonomi, keuntungan, kesan sosial dan alam sekitar.

NONE"Kita tidak boleh mengenepikan semua isu hanya kerana emosi semata-mata. Jika ia perlu diteruskan, ini sekurang-kurangnya yang kita boleh lakukan.

"Kami akan mempertimbangkan memindahkan lokasinya ke Kertih dari Pengerang. Kompleks Industri Petroleum Petronas memang sudah sedia ada di Kertih," katanya sambil menambah ia dilengkapi kemudahan dan tanah yang cukup serta hampir dengan pelabuhan Kuantan.

"Lokasi Kertih juga menjadi pilihan kerana tidak akan ada kesan masyarakat yang negatif, tiada keperluan memindahkan mana-mana komuniti ataupun pengambil alihan tanah secara paksa," tambahnya lagi.

Beliau turut menggesa tempoh lebih panjang diberikan kepada rakyat Pengerang untuk menyuarakan pandangan mereka sebelum Keputusan Pelaburan Akhir (FID) dibuat pertengahan Jun tahun depan.

"Semua kajian kesan alam sekitar akan dibuka untuk ulasan awam dan semua piawaian alam sekitar akan dikuatkuasakan dengan penuh," katanya.

'Projek gajah putih terbesar'
Menurutnya lagi, PKR tidak menyokong atau membantah projek itu tetapi percaya projek petrokimia itu yang bertujuan mengeksport minyak ditapis ke China dan India itu perlu turut mengambil kira sentimen negatif ekonomi negara tersebut baru-baru ini.

Tambahnya lagi, India dan China yang berhadapan dengan kemerosotan dan ketidaktentuan ekonomi juga giat membina kilang penapis minyak mereka sendiri.

NONE"Ada kemungkinan risiko apabila Rapid mula beroperasi pada tahun 2016, ia akan dianggap sebagai projek gajah putih yang terbesar," katanya yang beranggapan pelaburan RM60 bilion mewajarkan penilaian lebih lama dibuat sebelum projek itu dimulakan.

Beliau turut mencadangkan agar projek itu dikecilkan skalanya daripada menghasilkan 300 ribu tong sehari kepada hanya 150 ribu tong sehari minyak.

"Ini akan memastikan nisbah kapasiti kepada kadar penggunaan yang lebih ketat untuk sektor penapisan," katanya.

Tambahnya, sekiranya Pakatan membuat keputusan tidak meneruskan projek itu, beliau percaya pelaburan RM60 bilion dari projek itu boleh diguna untuk membina lebih banyak sekolah vokasional bagi merancakkan proses indutrialisasi negara.