Friday, October 12, 2012

PKR gesa Najib penjelaskan dakwaan jumpa Soros pada 2010

 Oleh Md Izwan
October 11, 2012
KUALA LUMPUR, 11 Okt — Naib Presiden PKR, Chua Tian Chang, menggesa perdana menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak memberikan penjelasan ekoran pendedahan perjumpaan sulit beliau dengan spekulator mata wang asing George Soros pada tahun 2010.

Gesaan tersebut dilakukan oleh ahli parlimen Batu itu semasa sesi perbahasan di parlimen petang tadi.
“Najib seperti Mahathir juga pernah mengadakan perjumpaan sulit dengan Soros,” kata Chua (foto fail).
“Saya berharap PM dapat berikan bukti atas dakwaan pertemuan sulit antaranya dengan Soros pada 2010. Saya mohon penjelasan.”

Pendedahan tersebut dilakukan oleh ahli parlimen Subang, R. Sivarasa, minggu lepas semasa perdebatan dengan ketua penerangan Perkasa, Ruslam Kassim.
Chua juga menyelar sikap kerajaan yang bersandiwara dan memutar belit fakta dengan bertindak menyerang badan bukan kerajaan (NGO) yang menerima dana asing dengan tujuan untuk menumbangkan kerajaan pusat.

Mantan PM, Tun Dr Mahathir Mohamad, juga didakwa oleh Chua pernah bertemu dengan Soros bagi melobi untuk mendapatkan dana bagi sebuah NGO yang menentang peperangan pada 2006.
Susulan pendedahan dalam debat tersebut, media hari ini melaporkan Najib pada telah bertemu Soros pada hari sama dia menyampaikan ucapan sulungnya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.

Pada 21 September laporan muka depan NST melaporkan bahawa beberapa NGO termasuk kumpulan hak asasi manusia SUARAM dan organisasi reformasi pilihanraya Bersih telah menerima dana dari sumber-sumber asing sebagai sebahagian daripada plot untuk menggulingkan kerajaan.

Rentetan insiden tersebut, rata-rata aktivis mendakwa mereka kini menjadi sasaran kempen jahat selepas beberapa akhbar pro Barisan Nasional (BN) menerbitkan cerita mendakwa organisasi seperti SUARAM dan Bersih mengambil dana asing sebagai sebahagian daripada plot untuk menjejaskan kestabilan negara.
Pelbagai pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan tempatan telah dinamakan dalam laporan NST, termasuk SUARAM, Lawyers for Liberty, Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) dan Pusat Kewartawanan Independen (CIJ).

Kebelakangan ini, NGO Malaysia yang dilihat kritikal kepada kerajaan telah diserang menerusi laporan media yang mengatakan terdapat pembiayaan dana asing dari Soros, termasuk Malaysiakini dan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM).

Sementara itu, NGO lain yang menerima dana daripada spekulator mata wang tersebut ialah Majlis AIDS Malaysia (MAC) yang ketika ini masih tidak terjejas akibat tuduhan tersebut.
Bulan lepas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata bahawa penerimaan dana asing bukan satu perkara yang menjadi isu.

No comments:

Post a Comment