October 25, 2012

Rafizi berkata beliau sendiri akan ke Hong Kong bertemu ICAC. — Gambar oleh Saw Siow Feng
KUALA
LUMPUR, 25 Okt — Sekiranya masih gagal mendapatkan penjelasan daripada
Suruhanjaya Bebas Anti Rasuah Hong Kong (ICAC) mengenai status kes
berhubung sumbangan dana RM40 juta kepada Umno Sabah, Rafizi Ramli
berkata beliau sendiri akan Hong Kong bagi mengemukakan bukti baru
terhadap kes tersebut kepada badan berkenaan.
Menurut Rafizi yang sudah menghubungi ICAC, sehingga kini badan
tersebut masih gagal memberikan penjelasan sama ada kes tersebut telah
ditutup atau masih berjalan.
“Jika masih gagal mendapatkan sebarang jawapan dan penjelasan daripada ICAC mungkin saya sendiri terpaksa pergi ke Hong Kong.
“Berdasarkan kenyataan dan bukti baru yang diperoleh menerusi
kenyataan pemimpin Umno dan di Parlimen, saya berpendapat terdapat asas
untuk ICAC menyiasat terutamanya dibawah Seksyen 16 (3), Akta Pencegahan
Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001 memandangkan terdapat keraguan ke
atas sumber wang tersebut,” kata Rafizi semasa ditemui di Bank Negara
Malaysia (BNM) pagi ini.
Namun, Rafizi berkata terdapat statut dalam ICAC yang menjelaskan
bahawa sekiranya siasatan kes tersebut sudah melebihi tempoh tiga tahun
maka ia tidak akan diteruskan.
“Kami sudah menghubungi ICAC dan tidak terdapat satu pengesahan pun
daripada mereka yang mengatakan kes tersebut telah ditutup atas alasan
tiada elemen rasuah telah dikenalpasti.
“Walaubagaimanapun seperti yang dilaporkan oleh Sarawak Report
menyatakan terdapat statut dalam ICAC yang menghadkan tempoh siasatan
hingga tiga tahun. Jika tiada maklum balas daripada negara yang disiasat
terbabit, maka kes tersebut tidak akan disiasat lagi,” kata Rafizi.
Rafizi menerangkan dia juga akan cuba mendapatkan jawapan daripada
ICAC untuk mengesahkan samaada kes tersebut telah ditutup kerana pihak
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) enggan memberikan
kerjasama dalam siasatan kes tersebut.
Sebelum itu, Rafizi pagi tadi telah menyerahkan kertas laporan kepada
BNM bagi menggesa badan pusat terbabit untuk menyiasat sumbangan dana
RM40 juta kepada Umno Sabah dibawah peruntukkan Akta Kawalan Tukaran
Wang 1953 dan Notis Kawalan Tukaran Wang, ECM 4 dan Seksyen 16 (3), Akta
Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001.
Dalam sidang Parlimen lalu, Putrajaya telah mengesahkan bahawa Datuk
Musa Aman hanya dibersihkan daripada rasuah selepas SPRM memberitahu
pihak berkuasa Hong Kong bahawa sumbangan tunai RM40 juta yang didakwa
untuk Ketua Menteri Sabah adalah “derma politik” kepada Umno.
Putrajaya mengesahkan bahawa Musa hanya dibersihkan daripada rasuah
selepas SPRM memberitahu pihak berkuasa Hong Kong bahawa sumbangan tunai
RM40 juta yang didakwa untuk Ketua Menteri Sabah adalah “derma politik”
kepada Umno.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz memberitahu The Malaysian Insider bahawa SPRM mula menyiasat Musa selepas ICAC ingin mendapatkan maklumat mengenai isu itu.
Beliau berkata ICAC telah meminta kerjasama SPRM selepas peniaga kayu
Sabah, Michael Chia telah ditahan dan didakwa dengan pengubahan wang
haram pada tahun 2008 kerana cuba menyeludup S$16 juta (RM40 juta)
daripada Hong Kong.
Menurut laporan media, Chia pada masa itu memberitahu pihak berkuasa Hong Kong bahawa wang yang beliau bawa adalah milik Musa.The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment