4 Oktober 2012
SENAI – "Saya tak akan minta maaf dan bersedia hadapi sebarang
kemungkinan," demikian tegas Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda
Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman, semalam.
Mazlan berkata demikian menjawab kata dua Ahli Parlimen Pengerang,
Datuk Seri Azalina Othman Said, yang mahu beliau meminta maaf kerana
membuat tuduhan melulu terhadapnya berhubung projek Pembangunan
Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) di Pengerang.
“Saya tidak kata dirinya (Azalina) terlibat dalam projek itu. Apa yang
saya sebut ialah, selaku Ahli Parlimen, beliau mempunyai alasan dan
sebab mengenai pembangunan itu dilakukan di kawasan perkampungan
penduduk.
“Saya tidak akan minta maaf. Jika dia rasa ada sebab untuk saman, itu hak dia, hak demokrasi," katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurut Mazlan, beliau tidak 'makan' ugut dan akan terus mendedahkan apa sahaja maklumat yang diperoleh.
"Saya bukan budak kecil yang takut, dan ia tidak akan membuatkan saya
terhenti untuk terus membuat pendedahan yang saya andaikan satu
sandiwara dan lakonan. Saya akan dedahkan pada bila-bila masa,” katanya.
Mazlan turut menjelaskan, beliau telah turun padang ke Pengerang sejak
setahun lalu dan berdasarkan maklumat yang diterima menerusi
penganalisis dan penyelidik di situ, pembangunan projek yang sama di
Kertih, Terengganu dan Bintulu, Sarawak perlu dicontohi kerana tidak
mengorbankan penempatan penduduk kampung.
“Ditegaskan, saya tidak menolak pembangunan, namun projek itu jelas
dibangunkan di kawasan yang mempunyai penduduk, bukan di Kampung Abdul
Ghani Othman, yang tanahnya milik kerajaan,” katanya.
Kelmarin, Azalina berkata, tuduhan Mazlan berniat jahat dan berunsur
fitnah dan beliau akan fail saman terhadapnya dan mana-mana portal yang
menyokong kenyataan pemimpin Pas itu berhubung isu projek Rapid.
“Tuduhan yang dia (Mazlan) buat di depan rakyat Pengerang seolah-olah
saya yang harus bertanggungjawab. Bagi saya itu adalah niat jahat dan
saya telah mengarahkan peguam saya untuk mengkaji teks ucapannya,”
katanya.sinar harian
No comments:
Post a Comment