Wednesday, October 3, 2012

Tiada peruntukan projek tebatan banjir dalam belanjawan negeri .Ada bonus satu setengah bulan — MB Kedah

October 03, 2012
ALOR SETAR, 3 Okt — Kerajaan Kedah tidak akan menyediakan peruntukan untuk projek tebatan banjir dalam belanjawan kerajaan negeri kerana projek itu sudah diambil alih oleh kerajaan pusat, kata Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak (gambar).

Beliau berkata kerajaan negeri akan mengikut apa yang telah kerajaan pusat rencanakan untuk projek tebatan banjir di Sungai Pendang dan Sungai Kedah.
“Kerajaan pusat dah ambil alih dan kita akan gunakan apa yang kerajaan pusat buat. Lagipun kerajaan pusat dah sediakan peruntukan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darulaman di sini hari ini.

Beliau berkata masalah banjir di Kedah terutamanya di Pendang sering berlaku tetapi sampai sekarang masih belum ada penyelesaian untuk masalah itu.
“Saya hairan kenapa sehingga sekarang projek itu masih belum dilaksanakan sedangkan peruntukan sudah lama diberikan.

Azizan berkata kerajaan negeri juga bersetuju untuk memberi bonus satu setengah bulan seperti mana yang dilaksanakan kerajaan pusat, bagi petugas kerajaan negeri semasa pembentangan belanjawan bulan hadapan.
Katanya beliau menjangkakan belanjawan negeri yang akan dibentang nanti akan menunjukkan peningkatan seperti yang dibentangkan tahun lepas.
“Sejak kita memerintah Kedah, setiap tahun kita akan naik bajet kita. Tahun sudah kita naik RM1.06 bilion dan tahun ini mungkin akan lebih lagi,” katanya.

Mengulas mengenai belanjawan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Jumaat lepas, Azizan menyifatkan ia adalah belanjawan pilihan raya dan ia adalah belanjawan biasa yang hanya ditambah sedikit daripada tahun lepas.
Azizan berkata isu pembinaan perumahan juga tidak pernah diberikan kepada Kedah sedangkan kerajaan negeri juga memberi kerjasama yang baik.The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment