(Oleh Aedi Asri)
PETALING JAYA 5 Oktober: Pakatan Rakyat Selangor akan melancarkan
siri Jelajah Selangor membabitkan semua 22 kawasan Parlimen dan 56 Dewan
Undangan Negeri (DUN).
Ketua Penerangan KEADILAN Negeri, Shuhaimi Shafiei berkata, jelajah
yang dimulakan di Parlimen Selayang pada 14 Oktober ini akan berakhir di
Parlimen Klang pada 8 Disember depan.
Menurutnya,
program ini melibatkan semua anggota parti komponen di setiap peringkat
dan dipantau oleh Sekretariat Penerangan Pakatan Rakyat Selangor.
Ia bagi memantapkan organisasi dan sistem jentera pilihan raya agar selari dengan misi dan visi Pakatan Rakyat.
“Kita akan jelajah semua 22 Parlimen dan 56 DUN untuk terangkan
prestasi program yang dilaksana di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi
Selangor (MES),” katanya dalam sidang media di Pejabat KEADILAN
Selangor, di sini hari ini.
“Kita ingin pastikan setiap maklumat dan fakta penting kejayaan
kerajaan negeri sampai kepada rakyat,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri
(Adun) Seri Muda itu lagi.
Tambah beliau, risalah dan maklumat akan diedar untuk menangkis
propaganda Umno BN, seperti isu air dan hutang Talam Corporation.
Hadir sama dalam sidang media itu, Ketua Penerangan PAS Negeri, Saari Sungib dan Setiausaha Publisiti DAP Negeri, Janice Lee.
Saari berkata, program ini pertama kali dirangka bersama oleh Sekretariat Pakatan Rakyat.
“Sebelum ini memang kita bekerjasama…Biasanya kalau PAS anjur program, kita akan jemput penceramah dari KEADILAN dan DAP.
“(Tetapi) kali ini, kita rangka secara bersama untuk tewaskan Umno BN
sehabis-habisnya pada PRU akan datang dan bawa perubahan yang lebih
besar,” kata Adun Hulu Kelang itu.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/
No comments:
Post a Comment