October 26, 2012
GEORGE TOWN, 26 Okt — Pengerusi DAP Karpal Singh (gambar)
menyeru wakil rakyat daripada parti itu yang menyandang dua kerusi
supaya memilih hanya satu kerusi untuk mereka tandingi pada pilihan raya
umum akan datang.
Beliau
berkata dalam mesyuaratnya, jawatankausa kerja pusat (CEC) parti itu
bersetuju bahawa hanya dalam kes “terkecuali”, seseorang anggota parti
itu dibenar menyandang dua kerusi (kerusi negeri dan parlimen).
Karpal Singh berkata beliau berpendapat Ketua Menteri Pulau Pinang,
yang juga setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng boleh dianggap sebagai
antara kes terkecuali itu.
“Keadaan terkecuali ini perlu diambil kira dalam erti kata
sebenarnya. Oleh itu, adalah penting bagi mereka yang menyandang dua
kerusi mengisytiharkan secara terbuka bahawa mereka akan memilih satu
kerusi sahaja.
“Mereka patut berbuat demikian demi kepentingan pakatan pembangkang.
Berbeza dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, beliau mampu tangani secara
langsung isu yang melibatkan kerajaan persekutuan dan negeri,” katanya
kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau bagaimanapun berkata terserahlah kepada CEC untuk memutuskan kerusi mana yang perlu dilepaskan oleh calon.
Kini, sembilan wakil rakyat DAP menyandang dua kerusi, tiga daripada
mereka di Pulau Pinang iaitu Guan Eng, Timbalan ketua Menteri P Ramasamy
dan ketua DAP negeri Chow Kon Yeow.
Karpal Singh berkata langkah melepaskan kerusi tidak sepatutnya
menjadi masalah sekarang kerana DAP tidak lagi kekurangan calon
berkebolehan berbanding sebelum ini. — Bernama
No comments:
Post a Comment