7 Oktober 2012
BAGAN DATOH - Kementerian Pertahanan menyerahkan kepada Peguam Negara
sama ada mahu menghalang atau membenarkan kehadiran peguam Perancis,
William Bourdon, yang dilihat mempunyai kepentingan politik untuk pihak
pembangkang.
Bourdon dijemput oleh pembangkang untuk memberikan taklimat berkenaan pembelian kapal selam Scorpene di Parlimen.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa, Ketua
Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjemput peguam itu untuk
kepentingan politiknya.
"Anwar memanggil peguam luar untuk memburukkan imej negara dan Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang memegang jawatan Menteri
Pertahanan, semasa pembelian kapal selam itu.
"Sebagai Menteri Pertahanan, saya akan terus mempertahankan pembelian
kapal selam Scorpene kerana ia melibatkan spesifikasi dan harga yang
telah dirundingkan," tegasnya.
Beliau menekankan, walaupun kedatangan peguam Perancis itu atas tujuan
politik dan tiada kaitan dengan perundangan negara, ia tetap
menggambarkan campur tangan pihak luar dalam hal ehwal dalaman negara
ini.
"Ia merupakan cubaan merendahkan imej negara dan kredibiliti peguam
dalam negara ini. Rakyat harus tolak campur tangan dari orang luar,"
katanya ketika ditemui selepas Temasya Sukan Sekolah Agama Rakyat
Al-Ulum Al Tarbiah Kampung Tanah Lalang, di sini, semalam.
Ahmad Zahid menjelaskan, pembelian kapal selam itu dilakukan mengikut
perundangan serta garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kewangan.
Menurutnya, Ketua Audit Negara telah mengemukakan laporan rasmi
mengenai pembelian kapal selam berkenaan dan ia tidak harus
dipertikaikan.
Menyentuh rayuan veteran angkatan tentera supaya kerajaan memberikan
mereka elaun tetap RM500 sebulan, Ahmad Zahid berkata, ia terserah
kepada budi bicara dan pertimbangan Perdana Menteri.
"Pemberian sagu hati RM1,000 yang dibentangkan pada Bajet 2013 harus
diterima dengan penuh kesyukuran oleh pesara tentera. Pemberian itu
adalah tanda penghargaan kerajaan kepada mereka yang berkhidmat dalam
era darurat," katanya.
No comments:
Post a Comment