myMetro
Lebih memilukan, mayat ketua keluarga itu, Zaidi Pandi, 62; dan seorang daripada anaknya, Atikah, 27, ditemui di atas sejadah, dipercayai mereka baru selesai menunaikan solat sebelum menemui ajal. Dua lagi mangsa ialah isteri Zaidi, Tiah Sauti, 53, dan anak lelakinya, Kazil, 20. Bedah siasat di Hospital Betong pada hari kejadian mendapati, empat beranak itu, mati kerana dipercayai terhidu asap gas karbon monoksida.
Difahamkan, kedudukan rumah keluarga malang terbabit yang agak jauh dari penduduk, selain tiada bekalan elektrik sejak sekian lama, menyebabkan mereka menggunakan generator berkuasa 2,500 watt bagi menggantikan bekalan elektrik pada setiap hari.
Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintendan Sarifuddin Mustaffa berkata, berikutan hujan lebat dan banjir di daerah ini minggu lalu, keluarga mangsa dikatakan mengangkat generator lalu dibawa masuk ke rumah.
Beliau berkata, kematian keluarga itu dikesan adik Zaidi, iaitu Omar, 39, selepas berkunjung ke rumah mangsa pada jam 5.30 petang kelmarin sebelum terhidu bau busuk selain terlihat kesan darah bawah rumah.
“Adik mangsa terus membuat laporan polis dan sepasukan anggota penyiasat tiba jam 6.40 petang mendapati rumah mangsa terletak jauh dari rumah penduduk dan berkunci dari dalam. Polis terpaksa memecah pintu dapur dan rumah didapati gelap selain generator masih hidup.
“Pemeriksaan lanjut mendapati tiga mayat ditemui di ruang tamu, manakala seorang lagi dalam bilik. Mayat pertama ditemui dikenali sebagai Zaidi dengan masih berbaju Melayu, berkain pelekat dan berkopiah terlentang di atas sejadah.
“Mayat kedua ditemui di sebelah mayat Zaidi iaitu anaknya dikenali sebagai Atikah, dalam keadaan terlentang masih memakai baju-T panjang. Pada masa sama, polis menemui telekung putih atas kerusi bersebelahan mayat dan dipercayai kedua-dua beranak itu baru selesai menunaikan solat,” katanya ketika dihubungi, semalam.
“Polis tidak menemui sebarang kesan rumah dipecah atau berselerak. Pada masa sama, tiada kesan pergelutan selain kesan luka pada mayat berkenaan malah senjata juga tidak ditemui. “Seluruh badan mangsa berwarna hijau kehitaman, malah mulut berair dengan lidah terjelir selain kesan darah dan air kekuningan berhampiran mayat. Siasatan mendapati, barang kemas, telefon bimbit dan sejumlah wang tunai milik mangsa tidak diusik.
“Kali terakhir mangsa menghubungi seorang anaknya pada jam 11 malam, Selasa lalu. Mangsa bekerja sebagai kontraktor kantin sekolah, malah sekitar rumah mangsa tidak ditemui sebarang kesan mencurigakan,” katanya.
No comments:
Post a Comment