(Oleh Aisha Geoffrey)
KUALA LUMPUR 16 November: Juruukur bahan, Ahmad Abdul Jalil, 27, yang
dituduh menghina Sultan Johor dipaksa membuat pengakuan sebagai ‘Zul
Yahya’ semasa berada dalam siasatan polis.
Perkara itu dimaklumkan Ahmad kepada kakaknya, Asiah Abdul Jalil.
Menurut Asiah, Ahmad pada mulanya ditahan dengan alasan untuk mencari
maklumat siapa dan di mana ‘Zul Yahya’, tetapi polis mengubah dan
memaksa beliau mengaku atas tuduhan menghina Sultan.
“Saya pun tak faham kenapa polis buat kerja macam tu, sedangkan Ahmad
langsung tidak kenal siapa ‘Zul Yahya’. Saya beberapa kali tanya
pernahkah berhubung atau kenal nama tersebut tapi Ahmad memang tak
tahu,” kata Asiah ketika dihubungi.
Pada 8 November lalu, Ahmad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen
Johor Bharu atas dua pertuduhan menghina Sultan Johor, Sultan Ibrahim
menerusi laman sosial Facebook, bulan lepas.
Ahmad
didakwa memuat naik satu status menghina Sultan Johor di akaun laman
Facebook yang didaftarkan atas nama ‘Zul Yahya’ di Dewan Tan Sri Mohamad
Rahmat, Kampung Pasir, Tampoi pada kira-kira 3 petang, 21 Oktober
lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia
1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa
hukuman maksimum penjara setahun dan denda RM50,000 dan denda
selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas
disabitkan.
Ahmad juga didakwa melakukan perbuatan yang sama di Pusat Media Ibu
Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini pada kira-kira 6 petang, 10
Oktober lepas.
Beliau ditangkap di pejabatnya di Cheras pada 2 November oleh polis Johor.
Asiah berkata, walaupun telah dibebaskan, Ahmad hingga kini masih
tidak boleh menggunakan telefon bimbit kerana nombor yang dipakai
disekat perkhidmatannya.
“Nombor sebelum ini memang dah tak boleh pakai, polis dah rampas. Dua
hari lepas dia (Ahmad) beli nombor baru pun tak boleh terima atau buat
panggilan,” jelasnya.
“Saya minta polis hentikan perkara ini demi memudahkan tugas mereka
dan hanya untuk tunjukkan mereka buat kerja. Saya tak tahu berapa ramai
dah jadi mangsa, tapi kali ini terjadi kepada keluarga kami. Kami redha
dan akan terus lawan,” kata Asiah.
Short URL: http://www.keadilandaily.com
No comments:
Post a Comment