1 November 2012
JOHOR BAHRU - Dua lelaki warganegara Bulgaria dihukum gantung sampai
mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam selepas didapati bersalah
atas tuduhan mengedar dadah jenis methamphetamin di perhentian bas
Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail, Senai pada Mei, tahun lalu.
Hakim Datuk Abdul Halim Aman menjatuhkan hukuman itu terhadap Ivon
Kirov Kostom, 27, dan Georgi Dinev Bakalov, 26, setelah mendapati
keterangan membela diri kedua-dua tertuduh gagal menimbulkan keraguan
munasabah terhadap kes pendakwaan.
“Kenyataan yang mengatakan mereka adalah mangsa keldai dadah dan cubaan
memindahkan beban kesalahan orang ketiga dikenali sebagai Joji juga
tidak boleh diterima.
“Mereka berdua sebenarnya sudah merancang perjalanan dari Bulgaria ke
Malaysia lebih awal dan kenyataan kedua-dua tertuduh hanya diada-adakan
bagi melepaskan diri,” kata Abdul Halim ketika membacakan penghakimannya
yang diterjemahkan oleh seorang jurubahasa dari Bulgaria.
Berdasarkan pertuduhan, Ivon didakwa mengedar dadah bahaya jenis
methamphetamin dengan berat bersih 1945.6 gram (g) pada jam 4.15 petang
di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail, Senai pada 18 Mei lalu.
Sementara itu, rakannya, Georgi pula didakwa mengedar dadah jenis sama
dengan berat bersih 2176.85 g pada tarikh, masa dan di lokasi yang sama.
Kedua-dua mereka yang bekerja dalam sektor pertanian di Bulgaria
didakwa mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh
dihukum di bawah Seksyen 39(B) akta sama yang memperuntukkan hukuman
mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Azreen Yas Mohamad
Ramli manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Pritam Sigh Doal.
Seramai 11 orang saksi dipanggil untuk memberi keterangan dalam kes ini.
No comments:
Post a Comment