6 Nov 2012
(Oleh Aedi Asri)
KUALA LUMPUR 6 November: Kempen Anti Saman Ekor (Kase) mendedahkan
kelemahan terbaru saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang
dikeluarkan terutama di lokasi kilometer 6.6 Lebuhraya Lembah Klang
Selatan (SKVE).
Penasihat Undang-Undang Kase, Zulhazmi Shariff berkata, kamera AES di
lebuh raya tersebut keliru dan celaru apabila menangkap kelajuan 80
kilometer sejam (km/j) sedangkan had laju di situ adalah 90 kilometer
sejam.
“Salah satu saman yang diterima adalah di kilometer 6.6 SKVE,
menunjukkan pemandu terbabit melakukan kesalahan Seksyen 79 (2) Akta
Pengangkutan Jalan 1987, atas kesalahan gagal mematuhi isyarat lalu
lintas dan had laju yang ditetapkan 80 km sejam.
“Padahal menurut laman web JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan), had laju
yang ditetapkan di sana adalah 90 km/j,” katanya pada sidang media di
Parlimen.
Menurut Zulhazmi, Pengarah Penguatkuasa JPJ, Jaafar Mohamed dalam
laman web JPJ menjelaskan, kamera AES dilengkapi sistem ‘speed limit
buffer’ (lonjakan had laju).
“Maknanya, di tempat had laju 90 km/j, pemandu hanya akan disaman jika pandu lebih 100 km/j.
“Tetapi dinyatakan (menurut surat saman yang ditunjukkan) bukan lonjakan, sebaliknya pengurangan had laju,” kata beliau.
Ekoran itu, Zulhazmi berkata, Kase akan menyediakan khidmat guaman kepada pemandu yang disaman yang tampil kepada mereka.
“Kita sedia lawan di mahkamah, atau (kalau perlu) saman JPJ kerana menipu,” tegasnya lagi.
Dalam perkembangan sama, Pengerusi Kase, Datuk Mahfuz Omar turut
menyeru pemandu yang disaman tidak menerima tawaran kompaun terhadap
saman AES.
“Kompaun tidak wajib bayar. Bawa kes ini ke mahkamah juga bukan
bermakna kita lawan undang-undang, tetapi sebaliknya ikut proses
undang-undang,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Short URL: http://www.keadilandaily.com
No comments:
Post a Comment