sinarharian
16 November 2012
16 November 2012
.
KOTA BHARU - Pas hari ini meminta PKR dan DAP mempastikan bahawa
anggota mereka memberi undi kepada calon Pas yang bertanding pada
Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, permintaan itu
selaras dengan keputusan ulama Pas mengarahkan semua ahlinya supaya
mengundi calon DAP dan PKR.
Ketiga-tiga parti tersebut bakal meletakkan calon atas tiket dan
lambang parti masing-masing pada PRU13 kelak kerana mereka tidak
berdaftar sebagai pakatan pembangkang secara rasmi.
"Memang itulah (anggota Pas diminta mengundi calon PKR dan DAP) dan
mereka pun kena undi kita jugalah," katanya kepada pemberita selepas
majlis perasmian Muktamar Tahunan Pas Ke-58 di Pusat Tarbiyah Islamiah
Kelantan (Putik) di sini.
Semalam Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib berkata, keputusan
dibuat ulama Pas akan memberikan penjelasan perkara tersebut kepada
anggota parti dengan menggunakan dalil daripada al-Quran dan hadis.
Katanya, ulama parti itu merujuk al-Quran dan hadis membuat ijtihad
membenarkan 'tahaluf siyasi' dengan parti-parti lain sebagai satu wadah
mencapai kemenangan pada pilihan raya.
Dalam beberapa pilihan raya umum sebelum ini, anggota parti itu dalam
siri kempen mereka pernah mendakwa bahawa pengundi Islam hanya boleh
mengundi calon Islam atau calon parti Islam.
Malahan pemimpin parti itu pernah mengecap Umno kafir kerana bekerjasama dengan MCA dan MIC.
Ketika ditanya sama ada partinya akan mengumumkan senarai calon sebelum
Dewan Rakyat dibubarkan bagi membolehkan PRU diadakan, Abdul Hadi
berkata terpulang kepada pucuk pimpinan Pas Pusat untuk membuat
keputusan.
Katanya calon-calon Pas telah dikenalpasti dan dipersetujui oleh Majlis
Syura Ulama dan lazimnya nama mereka diumumkan sehari dua sebelum hari
penamaan calon.
"Itu (mengumumkannya lebih awal) terserah kepada Pas Pusat. Pada dasarnya kita menerima pandangan itu," katanya.
Menyentuh kritikan beberapa anggota Dewan Pemuda Pas yang tidak berpuas
hati dengan organ rasmi parti, akhbar Harakah, dan mahukan sidang
pengarangnya dirombak, Abdul Hadi berkata, sesiapa sahaja berhak
memberikan pandangan.
Katanya, setiap pandangan yang diberikan pada muktamar parti itu akan diberi perhatian dan diperhalusi.
Abdul Hadi berkata, bagaimanapun beliau berpuas hati dengan laporan Harakah selama ini. - Bernama
No comments:
Post a Comment