Tuesday, November 27, 2012

Hilang kerja kerana cuti sakit

sinarharian
27 November 2012
Hilang kerja kerana cuti sakit
Abdullah menunjukkan surat perjanjian bersama dan laporan polis yang dibuat.
ALOR SETAR - Seorang pekerja sebuah syarikat tayar kecewa apabila mendakwa diberhentikan majikan tanpa alasan munasabah.
Abdullah Abdul Rahman, 41, berkata, dia diberhentikan kerja oleh majikan pada 22 November lalu kerana tidak datang kerja akibat cuti sakit yang terlalu lama.
Katanya, dia mula tidak datang kerja pada 3 Oktober lalu kerana mengalami kemalangan kecil semasa bertugas mengangkat barang yang terlalu berat sehingga menyebabkan kecederaan di tulang belakang.
“Pada hari tersebut, saya telah mendapatkan rawatan di Putra Medical Centre (PMC) dan doktor mengesahkan bahawa tulang belakang saya mengalami kecederaan.

“Doktor bagi saya cuti sakit selama 75 hari untuk rehat dan tidak bekerja sebelum menjalankan pembedahan pada awal bulan Januari nanti,” katanya ketika ditemui di Pejabat Sinar Harian, kelmarin.
Abdullah berkata, dia bukan sahaja sedih, malah tertekan lebih-lebih lagi memerlukan wang untuk melakukan pembedahan awal tahun depan.
“Kos rawatan pembedahan sahaja sudah mencecah antara RM9,000 hingga RM10,000. Mana nak cari duit.

“Saya perlu dapatkan borang GL syarikat untuk meneruskan proses pembedahan sebab kemalangan itu terjadi semasa saya bekerja di premis tersebut. Tapi saya dilarang memasuki kawasan berkenaan," katanya.

Menurutnya, majikan juga telah menawarkan nilai pampasan dan meminta dirinya menandatangani surat pemberhentian kerja atas alasan tidak datang kerja terlalu lama namun dia tidak setuju.

“Berdasarkan perjanjian bersama antara pekerja dan majikan, sekiranya rawatan hospital diperlukan dan diperakui oleh doktor syarikat atau doktor kerajaan, cuti sakit tersebut akan diberi dengan gaji penuh tidak melebihi 90 hari setahun, tidak termasuk sebarang cuti sakit yang telah disahkan oleh doktor syarikat.
“Bagaimanapun, selepas 90 hari, pekerja berkenaan bolehlah memohon untuk ditamatkan perkhidmatan tanpa pengesahan daripada doktor syarikat atau doktor kerajaan.

“Syarikat juga boleh menghantar pekerja tersebut bagi menjalani pemeriksaan kesihatan secara terperinci untuk menentukan kelayakan perkhidmatan pekerja tersebut dengan syarikat.

“Sekiranya doktor membuat pengesahan yang pekerja tersebut tidak boleh bekerja, maka peruntukan Artikel 23 perlu diguna pakai.
“Tapi ini tak sampai 75 hari, mereka sudah panggil malah minta diberhentikan kerja,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment