Isnin, 5 November 2012 myMetro
PETALING JAYA: Tanda tanya kehilangan imam Surau al-Munawwarah, Apartmen
Lagoon Perdana, Bandar Sunway, di sini, yang tidak muncul ketika solat
Subuh di surau berkenaan terjawab apabila dia kemudian dikesan
terperangkap kira-kira 45 minit dalam lif, awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian jam 5.45 pagi itu, imam berkenaan, Mat Jusoh, 52,
terperangkap di tingkat sembilan bangunan setinggi 18 tingkat itu
sebelum dikeluarkan sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Subang
Jaya yang dihubungi selepas mendapat panggilan kecemasan.
Menceritakan semula kejadian, Mat berkata, dia dalam perjalanan dari rumahnya di tingkat 14 ke surau di aras paling bawah untuk mengimamkan solat Subuh apabila lif dinaikinya berhenti secara tiba-tiba di tingkat sembilan.
“Saya panik kerana ini kejadian pertama berlaku terhadap saya, tambahan
pula bersendirian dalam lif ketika itu. Saya cuba membuka pintu dari
dalam tapi hanya boleh buka pintu sebelah dalam tapi gagal buka lapisan
pintu luar,” katanya.
Mat berkata, selepas pintu luar lif terbuka sedikit dia menjerit meminta tolong dan seorang penghuni mendengar jeritannya datang membantu.
“Penghuni itu juga tidak berjaya membuka pintu lalu menghubungi pengawal keselamatan yang tiba tidak lama kemudian bersama pasukan bomba,” katanya.
Mat dikeluarkan jam 6.30 pagi dan berharap pihak pengurusan bangunan
memandang berat masalah itu kerana bimbang kejadian sama berulang.
Sementara itu, jurucakap Badan Pengurusan Bersama (JMB) apartmen berkenaan ketika dihubungi berkata, masalah lif rosak berlaku disebabkan kegiatan tidak bertanggungjawab segelintir penghuni melakukan vandalisme.
No comments:
Post a Comment