Sunday, November 4, 2012

Kembara Oren tegang, walaupun diserang mereka tidak melawan

SAIFULLAH AHMAD
4 November 2012
Kembara Oren
Razman (dua, kanan) mengetuai bacaan doa sebelum kembara berkenaan bermula.
IPOH – Kembara Oren Selamatkan Felda berlangsung sedikit tegang semalam apabila kehadiran konvoi itu di Felda Lasah, Sungai Siput, dekat sini dihalang sekumpulan 100 individu yang mendakwa penduduk setempat.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, insiden berkenaan menyebabkan konvoi terpaksa menunggu sehingga sejam untuk masuk, namun gagal.

Beliau mendakwa tindakan berkenaan langsung tidak mencerminkan Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi.

“Kita tidak terikut-ikut dengan tindakan agresif dan provokatif mereka. Selepas kami tidak dibenarkan masuk, peserta kembara terus ke destinasi berikutnya di Felda Ijok, Kubu Gajah,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya Pemuda Pas Perak, Nazrin Din yang turut serta dalam kembara itu mendakwa Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman turut ditarik keluar dari kenderaan dan berlaku insiden tolak menolak oleh sekumpulan individu.

Kata beliau, peserta kembara bagaimanapun tidak membalas perbuatan berkenaan bagi mengelak kejadian lebih buruk.

Menurutnya, kehadiran mereka ke Felda Lasah adalah untuk memberi penerangan dan mengedarkan risalah kepada penduduk.

“Kami cuma mahu masuk ke markas kita yang berada dalam Felda itu. Tak sangka kehadiran kami disambut seperti ini.

“Kami tidak melawan bila mereka mula menyerang kerana kami tidak berhajat untuk bergaduh. Kami turut dimaki hamun oleh mereka," katanya.

Mengikut perancangan asal, perjalanan kembara bermula di Felda Lasah jam 9 pagi dan kemudiannya singgah di Felda Ijok, Felda Papulut serta Lawin Selatan sebelum berakhir dengan ceramah umum di Felda Lawin Utara.

Kembara Oren Selamatkan Felda merupakan anjuran Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah Pas Perak yang dipengerusikan Razman dengan kerjasama Anak, bertujuan memberi penerangan kepada masyarakat khususnya peneroka tentang isu terkini berkenaan Felda.

No comments:

Post a Comment