sinarharian
17 November 2012
KOTA BHARU – Di sebalik kritikan pihak-pihak tertentu
yang mendakwa Pas kini terpesong daripada konsep perjuangan asalnya,
Majlis Syura Ulama tampil membuat kenyataan untuk ‘mendiamkan
mulut-mulut orang itu daripada bercakap’ dengan menekankan bahawa hala
tuju parti itu masih sama seperti dahulu.
Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din berkata, Majlis Syura
Ulama telah bersidang bagi memikirkan jalan terbaik itu mendiamkan
mereka daripada terus mengkritik dasar perjuangan parti itu.
"Isu itu dimainkan oleh bukan calang-calang orang dan atas dasar itulah
Majlis Syura Ulama bersidang memikirkan jalan terbaik untuk mendiamkan
mulut-mulut orang ini daripada bercakap dan mengurangkan tekanan akhbar
kepada kita," katanya semasa penggulungan ucapan dasar Presiden Pas,
Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik)
di sini, hari ini.
Terdahulu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, majlis itu menjelaskan
bahawa Pas masih tetap berjuang berlandaskan apa yang tercatat dalam
perlembagaannya.
“Pas hari ini adalah Pas dahulu, perjuangan tidak lari daripada perjuangan asal.
“Arah tujunya tetap sama masih utuh dan masih atas perjuangan asalnya
tanpa sedikit pun menyeleweng daripada apa yang terkandung di dalam
perlembagaannyaa,” katanya.
Majlis itu mengadakan mesyuarat kelmarin bagi membincangkan isu
tersebut bagi meneliti sama ada Pas telah terpesong atau pun tidak
daripada matlamatnya.
Ia diteliti dengan cermat dengan mengambil kira ucapan dasar
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di dalam dua kali muktamar
iaitu tahun lalu dan kali ini yang kedua-duanya bertemakan ‘Negara
Berkebajikan’.
“Majlis Syura Ulama membahaskan semula apakah ‘Negara Berkebajikan’ itu
sesuatu baru dan berlawanan dengan ‘Negara Islam’ yang diperjuangkan
Pas selama ini atau pun ianya sama.
“Demikian juga dengan tahaluf siyasi yang diputuskan dan dilaksanakan
oleh Pas, apakah ianya masih relevan dan selaras dengan perjuangan Pas
atau tidak, di samping mengambil kira komen-komen dari dalam dan luar
mengenai arah tujunya,” katanya.
Majlis tersebut menyeru semua ahli dan penyokongnya supaya tidak
mempedulikan fitnah-fitnah dilontarkan oleh musuh kononnya Pas terpesong
daripada perjuangan asalnya.
No comments:
Post a Comment