| Harakahdaily 15 Nov 2012 |
KOTA BHARU: Para ulama di dalam PAS diseru agar
mempertahankan ijtihad Tahaaluf Siyasi (persefahaman politik) termasuk
mengarahkan semua ahlinya mengundi calon-calon bukan Islam di kalangan
Pakatan Rakyat.
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib berkata, untuk
mencapai matlamat politik Islam, ulamak berijtihad dalam menentukan
wasilahnya.
"Antaranya, Ulamak dalam PAS berijtihad dengan merujuk kepada
al-Qur’an dan al-Hadis membenarkan Tahaaluf Siyasi dengan parti-parti
lain dengan syarat-syaratnya sebagai satu wasilah mencapai kemenangan
dalam pilihanraya.
"Rentetan daripada ijtihad Tahaaluf Siyasi, ahli-ahli PAS diarahkan
mengundi calon-calon pilihanraya bukan Islam di kalangan Pakatan
Rakyat," katanya.
Untuk itu, katanya, ulamak perlu menjelaskan perkara ini kepada
ahli-ahli parti dengan dalil-dalil daripada al-Qur’an dan al-Hadis.
Dalam masa yang sama juga Ulamak perlu sentiasa prihatin dengan syarat-syarat Tahaaluf Siyasi yang telah digariskan.
"Sekiranya berlaku sebarang pelanggran kepada syarat-syarat tersebut,
Ulamak perlu segera menegur kepimpinan parti dan memberikan nasihat,"
katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberikan Ucaptama dalam Muktamar
Dewan Ulamak PAS Pusat yang berlangsung di Dewan Duyung, Perdana Resort
hari ini. Teks ucapannya dibaca Naib Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat,
Dato’ Dr Mahfudz Mohamad.
Dalam ucapan itu juga, Ustaz Haron turut memberitahu, ulamak PAS perlu menggunakan media baru dalam menyampaikan mesej dakwah mereka.
"Tidak cukup hanya dalam kuliah di surau dan masjid serta ceramah,
bahkan perlu disiarkan dalam media massa. Youtube, blog, website dan
media alternatif lain perlu digunakan semaksimum mungkin untuk tujuan
tersebut," katanya.
Ulamak perlu memanfaatkan media ini bagi membentuk minda rakyat dan
cara pemikirannya agar benar-benar menguntungkan Islam di samping
mempunyai semangat untuk menegakkan agama Allah di muka bumi ini,
tambahnya.
Sementelahan lagi isu berkaitan ijtihad siyasi dan tarbawi biasanya dialpakan oleh banyak pihak.
Ulamak Haraki berperanan memenuhi media baru dengan pemikiran dakwah, tarbiyah dan jihad menentang kezaliman.
Jihad Ulamak Haraki, katanya, tidak hanya dengan lisan tetapi juga menggunaka mata pena penulisan.
"Marilah kita mengisi ruangan yang terbuka luas sebagai medium dakwah
moden untuk menyampaikan risalah Allah kepada masyarakat," jelas beliau
No comments:
Post a Comment