Wednesday, November 28, 2012

PM sah PRU13 bukan bulan depan

sinarharian
G MANIMARAN & Raziatul Hanum A Rajak
27 November 2012
 Najib Tun Razak
Datuk Seri Najib Tun Razak semasa memberi taklimat kepada para perwakilan pada majlis Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung Umno 2012 di PWTC Kuala Lumpur - Foto Bernama
 
[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak dikatakan telah mengesahkan bahawa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tidak akan diadakan bulan depan meskipun dalam temu bual sempena Perhimpunan Agung Umno (AGM) 2012, yang disiarkan kelmarin, beliau ada mengatakan musim hujan bukan halangan untuk memanggil pilihan raya.
Perdana Menteri yang juga Presiden Umno mengatakan perkara ini kepada ahli-ahli Umno pada majlis Taklimat Presiden yang diadakan di Dewan Merdeka, petang ini sempena AGM kali ini.

"Datuk Seri Najib sudah mengatakan dengan jelas PRU13 bukan bulan depan. Beliau berkata 'oleh kerana ini majlis tertutup, saya boleh memberitahu (anda) pilihan raya bukan bulan Disember'... jadi, pasal pilihan raya, ini bayangan yang jelas, yang disampaikan oleh Datuk Seri Najib," kata seorang pemimpin parti kepada Sinar Harian Online.
Majlis Taklimat Presiden merupakan sesi tradisi menjelang AGM parti.

Pemimpin yang enggan namanya didedahkan menambah, Najib secara berseloroh ada menyebut bahawa "PRU13 akan diadakan tahun depan" sambil merujuk kepada tempoh sama ada antara Januari atau April, atau "dalam tempoh dua bulan selepas itu."
"Kita ada antara Januari dan April dan tambahan 60 hari lagi... itu kata Datuk Seri Najib," kata seorang lagi pemimpin bahagian merujuk kepada tempoh dua bulan yang diberikan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan tarikh pilihan raya.

"Bukan bulan Disember, pastinya tahun depan," kata seorang seorang lagi pemimpin memetik Najib.
Sementara itu, ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Puad Zarkashi berkata, tidak perlu berteka-teki lagi berhubung tarikh PRU13 kerana ia sah tidak akan diadakan bulan hadapan.
"Perdana Menteri kata jangan tunggu lagi, pilihan raya pasti tahun depan," kata Puad yang juga Timbalan Menteri Pelajaran.

Dalam pada itu, seorang lagi ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mustapa Mohamed turut mengesahkan apa yang diberitahu Presiden Umno itu berhubung tarikh PRU13.
"Kita perlu rapatkan perpaduan bersiap sedia untuk PRU13.
"Cabaran kita adalah bersatu  dan kerja kuat... yang penting kita dapat majoriti dua pertiga  dalam PRU tahun hadapan," kata Mustapa yang juga Pengerusi Umno Kelantan.
Dalam pada itu, Exco Pemuda Umno, Datuk Muhd Khairun Aseh berkata, Najib ada memberi gambaran tentang PRU13.
"Semua nantikan pilihan raya tahun depan bukan tahun ini," katanya.

No comments:

Post a Comment