Wednesday, November 14, 2012

Rogol: PAS anggap bukan imej polis negara ini

Harakahdaily

Muhammad Faizal, 14 Nov 2012
KUALA LUMPUR: PAS hari ini memberi jaminan bahawa tiga anggota polis yang didakwa terlibat dalam kes rogol warga Indonesia akan dibawa ke muka pengadilan dan menerima hukuman yang berat.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan tiga anggota polis itu adalah bersifat peribadi bukannya menggambarkan imej pasukan polis negara ini.

"Saya pasti agensi polis negara ini sentiasa menjaga imej baik mereka di negara ini mahupun di negara-negara luar dan apa yang berlaku itu ia hanya melibatkan sifat peribadi ketiga-tiga mereka.

"PAS akan pastikan mereka yang terlibat akan dibawa ke muka pengadilan dan dijatuhkan hukuman yang berat atas perbuatan mereka yang telah mencetus ketidakpuasan hati negara jiran kita Indonesia," jelasnya kepada Harakahdaily.

Beliau turut mengulas tindakan rakyat Indonesia yang mengadakan demonstrasi di hadapan Kedutaan Malaysia di Indonesia selain membakar Jalur Gemilang dan mendesak Duta Besar Malaysia diusir dari negara tersebut.

"Pertama sekali kerajaan perlu mengambil langkah segera bagi memastikan rakyat Malaysia yang berada di Indonesia terjamin keselamatan mereka, ini amat penting kerana kita tidak mahu berlaku sesuatu terhadap mereka.

"Perkara kedua pula kerajaan perlu memohon maaf kepada kerajaan Indonesia bagi meredakan kemarahan serta menjelaskan bahawa rakyat Malaysia di sana tidak bersalah dan tidak terlibat langsung dengan insiden tersebut dan menjelaskan tindakan telah diambil terhadap mereka yang bersalah," sambung beliau lagi.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena turut merayu agar rakyat dan kerajaan Indonesia tidak bertindak di luar jangkaan terhadap rakyat Malaysia yang berada di sana serta memberi jaminan pihak polis dapat menyelesaikan kes itu secepat mungkin.

Sebelum ini, seorang warga Indonesia mendakwa dipaksa melakukan hubungan seks oleh tiga anggota polis di Balai Polis Perai pada 9 November lalu.

No comments:

Post a Comment