(Oleh Aisha Geoffrey)
KUALA LUMPUR 30 November: Hakim Mahkamah Perancis akan ke sini jika
tidak mendapat sebarang kerjasama dari kerajaan Malaysia dan mereka yang
terlibat dalam kes rasuah Scorpene.
Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua menjelaskan, saksi boleh disepina
dan dikenakan waran tangkap jika mereka gagal mengikut perintah
mahkamah.
“Perbicaraan tersebut akan dijalankan di sini oleh hakim Perancis berikutan keengganan Malaysia untuk membantu siasatan.
“Itu antara pilihan yang mereka (saksi) ada,” katanya ketika dihubungi.
Ahli Parlimen Batu itu berkata, Mahkamah Perancis memandang serius
kes tersebut dan tidak akan mengenepikan bukti-bukti berkaitan.
Beliau mengambil contoh kes rasuah melibatkan anak kepada Presiden
Equatorial Guinea, Teodoro Nguema Obiang Mangue yang dikenakan waran
tangkap oleh Mahkamah Perancis kerana gagal hadir perbicaraan.
“Jelas, mahkamah tidak akan segan silu untuk keluar waran tangkap jika mereka terbabit tidak mematuhi arahan,” kata Tian.
“Walaupun kerajaan Malaysia berusaha untuk sembunyi kes ini, kes tetap tidak akan ditutup,” tegasnya.
Hakim Penyiasat Perancis yang terlibat dalam kes ini adalah Roger Le Roire dan Serge Tounaire.
Dalam taklimat oleh peguam Apoline Cagnat di Singapura, Selasa lalu,
beliau menjelaskan Datuk Seri Najib Razak dan Abdul Razak Baginda
menjadi fokus utama untuk disepina.
Beliau menegaskan, tiada sesiapa memiliki imuniti penuh dari sebarang
pendakwaan atau sepina dalam kes berkenaan, termasuk Perdana Menteri.
Saksi lain yang turut disenarai Suara Rakyat Malaysia (Suaram) untuk
disepina adalah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; bapa
Altantuya, Dr Shaariibu Setev; penyiasat persendirian, Balasubramaniam
dan seorang korporat, Lodin Wok Kamaruddin.
Apoline turut menyatakan, rekod kes pembunuhan Altantuya juga akan diteliti Hakim Siasatan Mahkamah Perancis.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?
No comments:
Post a Comment