SHAH
ALAM 21 NOVEMBER : Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negeri pada
Mac 2008, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tidak lagi meluluskan
sebarang permohonan lesen bagi rumah urut, pusat hiburan awam dan pusat
siber.
Bagaimanapun, menurut Exco Kerajaan Tempatan, Ronnie Liu, premis yang
mempunyai lesen sebelum 2008 masih boleh memperbaharui lesen mereka.
“Lesen mereka masih boleh diperbaharui setiap tahun selagi tidak
melanggar syarat-syarat lesen dan undang-undang sedia ada,” katanya
ketika menjawab soalan lisan daripada Adun Lembah Jaya, Khasim Abdul
Aziz di Sidang DUN pagi tadi.
Dipetik dari TV Selangor, Ronnie juga memaklumkan dewan bahawa lesen
baru hanya diberikan untuk pusat penjagaan kesihatan seperti
refleksologi, aromaterapi, fisioterapi, spa dan sauna serta gimnasium.
Ini termaktub dalam Undang-undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan.
Sementara itu, bagi aktiviti pusat hiburan pula, lesen baru hanya
dibenarkan bagi aktiviti pusat istirehat dan pusat hiburan keluarga.
Antara lain ialah karaoke keluarga, kiosk karaoke, pusat bowling,
‘fun fair’ dan pusat hiburan keluarga yang menyediakan beberapa bentuk
hiburan seperti ‘kiddyride’ dan mesin simulator.
“Mereka juga perlu mematuhi peraturan dan syarat yang ditetapkan
iaitu tidak menghidangkan atau menyediakan minuman keras kepada
pelanggan,” tegas Ronnie yang juga Adun Pandamaran.
Sejak 2008 sehingga kini, sejumlah 179 lesen pusat penjagaan
kesihatan, 1,278 lesen pusat hiburan keluarga dan istirehat serta 224
lesen hotel bajet dikeluarkan Kerajaan Negeri.
Short URL: http://www.keadilandaily.com
No comments:
Post a Comment