Sunday, December 9, 2012

86 lokasi di Kedah dipasang AES. Macamana ni MB ?

sinarharian
9 Disember 2012
ALOR SETAR - Cadangan pemasangan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di 86 lokasi di Kedah diterima baik dan disokong banyak pihak di negeri ini termasuk Pegawai Tadbir Kerajaan Negeri Kedah (KCS).
   
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah Ahmad Musadad Sulaiman berkata, ramai memberikan reaksi positif terhadap pelaksanaan sistem itu dan mereka tahu tujuan AES adalah untuk menjamin keselamatan pengguna jalan raya.
  
Katanya, selain itu, pihaknya tidak menerima bantahan daripada pemimpin kerajaan negeri berhubung pelaksanaan sistem itu.
   
"Saya bertemu dengan orang awam dan ketua-ketua jabatan di Kedah, mereka meminta kamera AES dipasang cepat sebab ia langkah yang baik. Saya berbual dengan anggota KCS, mereka juga sokong. Mereka kata perkara baik, jadi apa salahnya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat pelaksanaan AES kepada ketua-ketua jabatan Persekutuan dan media di sini hari ini.
   
Katanya, JPJ sedia bertemu dengan wakil kerajaan negeri bagi memberikan taklimat lengkap berhubung pelaksanaan AES di negeri ini.
  
Beliau berkata, jika pihaknya dipanggil oleh kerajaan negeri bagi memberi penjelasan lanjut berkenaan AES, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan sendiri akan memberikan penerangan kepada wakil kerajaan negeri.
   
Sementara itu, katanya JPJ negeri sudah mengenal pasti 60 lokasi untuk kelajuan dan 26 kawasan lampu isyarat untuk dipasang kamera AES.
    
Katanya, tarikh pemasangan itu akan ditentukan oleh ibu pejabat JPJ pada waktu sesuai bagi merakam kesalahan mereka yang gemar melanggar peraturan jalan raya.
   
"Pelaksanaan AES tidak zalim, tetapi lebih kepada memantau dan mengawal pengguna jalan raya. Kesan baik pelaksanaannya dapat dilihat di negara luar yang menggunakannya apabila kadar kemalangan menurun dengan banyak," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment